TTPM Perak belum terima aduan isu kurier
IPOH - [DIKEMASKINI] Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Perak belum menerima sebarang kes yang difailkan pengguna berkaitan isu melibatkan syarikat perkhidmatan penghantaran.
Exco Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, mana-mana pengguna yang ingin membuat tuntutan boleh ke mana-mana pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di negeri ini.
Menurutnya, bagaimanapun pengguna dinasihatkan untuk menyelesaikan isu tersebut dengan pihak syarikat kurier terbabit dan mengemukakan tuntutan di TTPM jika masih tiada jalan penyelesaian.
"Setakat ini, pihak TTPM Perak belum menerima sebarang tuntutan berkaitan isu ini. Mungkin mereka sedang menyelesaikan kes di peringkat syarikat terbabit.
"Tuntutan di TTPM merupakan penyelesaian terakhir. Jadi, pengguna boleh hadir ke pejabat KPDNHEP di Pusat Transformasi Bandar (UTC) atau di cawangan-cawangan untuk failkan tuntutan," katanya kepada pemberita selepas Sesi Walkabout dan pemantauan sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2021 di Pasar Besar Ipoh di sini pada Selasa.
Sementara itu, Abdul Yunus berkata, TTPM adalah jalan terakhir sekiranya pihak penjual dan kurier tidak menemui jalan penyelesaian.
"Untuk tuntutan barang, kita nasihatkan penjual selesaikan di mahkamah tuntutan kecil sekiranya barang tidak melebihi RM5,000.
"Mereka boleh failkan ke mahkamah majistret yang ada perkhidmatan untuk tuntutan kecil di situ," katanya.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial video pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.
Rakaman video berdurasi 15 saat di salah sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja kurier mogok baling barang pelanggan
Bagaimanapun pada 7 Februari lalu, Syarikat perkhidmatan penghantaran barangan J&T Express memohon maaf atas tindakan kakitangannya yang mencampak barang pelanggan seperti dalam video yang tular di media sosial.
Pengurusan J&T Express Perak dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook J&T Express Malaysia-Perak berkata, perilaku yang ditunjukkan ketika mengagihkan bungkusan adalah secara ganas dan tidak menyenangkan.
ARTIKEL BERKAITAN: J&T Express mohon maaf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!