WHO pertahan vaksin AstraZeneca bendung Covid-19
GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan pada Isnin bahawa penggunaan vaksin AstraZeneca masih penting dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.
Sebelum ini, Afrika Selatan menangguhkan program inokulasi terhadap penduduknya kerana bimbang tentang keberkesanannya terhadap satu varian Covid-19.
"Adalah terlalu awal untuk menggugurkan vaksin ini (AstraZeneca)," kata Richard Hatchett yang mengetuai Pakatan Untuk Persediaan Inovasi Epidemik (CEPI) seperti dilaporkan oleh AFP.
Beliau yang juga ketua pembangunan Akses Global Vaksin (Covax) iaitu inisiatif global bagi memerangi Covid-19 bersama dengan WHO berkata demikian selepas keberkesanan vaksin AstraZeneca terhadap para penduduk berusia lebih 65 tahun dipersoalkan.
Vaksin AstraZeneca ketika ini merupakan vaksin terpenting Covax.
Ia merangkumi hampir keseluruhan daripada 337. 2 juta vaksin yang dikeluarkan oleh Covax yang akan memulakan penghantaran ke 145 negara dalam tempoh setengah tahun pertama tahun ini selepas ia menerima pengesahan WHO.
WHO menjangka vaksin itu akan disahkannya pada minggu depan.
Namun, dalam satu ujian yang dilakukan oleh Universiti of Witwatersrand, Johannesburg mendapati bahawa vaksin tersebut hanya memberikan perlindungan minimum terhadap virus ringan dan sederhana Covid-19 yang ditemui pertama kali di Afrika Selatan.
Negara itu dijangka memulakan kempen vaksinasi dalam tempoh beberapa hari dengan menggunakan satu juta dos vaksin AstraZeneca.
Bagaimanapun, kerajaan negara itu membuat keputusan menangguhkan keputusan tersebut berikutan keputusan ujian tersebut.
Tarikh luput vaksin AstraZeneca yang digunakan oleh Afrika Selatan itu adalah pada April depan.
AstraZeneca merupakan syarikat Britain dengan Sweden dan mengeluarkan vaksin tersebut dengan kerjasama Universiti Oxford.
Namun, ia mempertahankan keberkesanan vaksin itu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!