Pakar psikologi, dua jururawat Maradona disiasat
BUENOS AIRES - Seorang ahli psikologi dan dua jururawat yang membantu menjaga legenda bola sepak, mendiang Diego Maradona sebelum beliau meninggal dunia telah dimasukkan dalam senarai siasatan kematian orang tanpa sengaja, kata sumber kehakiman kepada media tempatan pada Isnin.
Maradona meninggal dunia akibat sakit jantung pada 25 November tahun lalu iaitu beberapa minggu selepas menjalani pembedahan otak akibat darah beku.
Sebelum ini doktor sakit jiwanya, Agustina Cosachov dan pakar sakit jantung, Leopoldo Luque telah pun disiasat oleh pihak berkuasa.
Kedua-dua mereka merawat Maradona sebelum kematiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Diego Maradona meninggal dunia
Doktor peribadi Maradona disiasat kemungkinan membunuh
Sebelum ini Luque pernah berkata pada November tahun lalu bahawa beliau melakukan apa yang termampu untuk menjaga pesakit seperti Maradona yang dikenali sebagai tidak bijak menguruskan dirinya.
Tiga orang yang baharu berada dalam senarai siasatan itu perlu hadir di hadapan pendakwa raya dalam minggu ini, kata sumber tersebut.
Para penyiasat cuba untuk menentukan jika terdapat mana-mana daripada lima orang yang menjaga legenda bola sepak tersebut melakukan kecuaian.
Maradona mengalami masalah hati, buah pinggang dan kardiovaskular tetapi tidak terdapat tanda-tanda penggunaan alkohol atau dadah berdasarkan hasil keputusan bedah siasat terhadap mayatnya.
Keputusan hasil bedah siasat pertama yang diadakan pada hari beliau meninggal dunia menunjukkan paru-paru bintang bola sepak itu mempunyai cecair dengan jantung gagal berfungsi akibat penyakit otot jantung.
Keadaan itu menyebabkan darah sukar untuk mengalir dalam tubuhnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!