Tommy perlu kritik ketika berkhidmat
SHAH ALAM - Pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang melabelkan keseluruhan jentera Jabatan Peguam Negara sebagai tidak kompeten, tidak bersemangat maju dan berdaya saing berbanding peguam swasta lebih wajar dikemukakan ketika beliau masih dalam perkhidmatan.
Presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir berkata, pandangan tersebut kurang tepat dan tidak mewakili pandangan Badan Peguam Malaysia.
"Perkara yang dinyatakan itu merupakan pendapat sendiri dan beliau berhak terhadap pandangan tersebut.
"Sebagai bekas Peguam Negara, jika beliau ingin mengkritik, ia perlu secara peribadi ketika dalam perkhidmatan dan mengambil langkah membaiki kepincangan ketika itu atau setidaknya mengkritik dalam konteks yang membina selepas bersara.
"Kami percaya ramai pegawai Jabatan Peguam Negara mampu dan bersedia menerima teguran dan kritikan yang dibuat dalam cara yang berhemah bertujuan membaiki diri supaya lebih maju," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau mengulas isu buku 'My Story: Justice in the Wilderness' yang mencetus kontroversi dan reaksi kurang senang pelbagai pihak.
Salim berkata, walaupun diakui ada beberapa kelemahan dalam kalangan kakitangan dan pegawai, ia lumrah dalam setiap struktur organisasi sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau peguam swasta.
Bagaimanapun jelasnya, sikap profesionalisme yang ditunjukkan oleh pegawai Jabatan Peguam Negara adalah sangat baik dan cekap.
"Kecenderungan, bantuan dan dedikasi yang ditunjukkan dalam perkara pindaan Akta Profesion Guaman yang baru oleh pegawai Jabatan Peguam Negara sangat baik dan dihargai.
"Tahap kompetensi yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara, khususnya Timbalan Pendakwaraya dan Peguam Persekutuan dalam mengemudi sesuatu kes sangat membanggakan dan memperlihatkan tahap kebolehan yang baik dan cemerlang setaraf peguam-peguam swasta," katanya.
Ujar beliau, ramai pegawai kanan yang telah dipilih menerajui pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri malah ada yang terpilih untuk dilantik sebagai hakim.
"Dalam bidang kehakiman juga ramai hakim yang sudah bersara dan ada yang kini berada di puncak strata kehakiman di Mahkamah Persekutuan dan pernah memulakan karier di Jabatan Peguam Negara.
"Hakim juga mampu menulis penghakiman yang bernas dan mempunyai pengetahuan undang-undang yang jitu setara yang dimiliki oleh hakim-hakim lain yang berlatarbelakangkan pelbagai pengalaman terdahulu, termasuk peguam, sebelum dilantik untuk berkhidmat sebagai hakim," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!