Sabah salur RM3.1 juta kepada ADUN pembangkang

Hajiji menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ketua Kampung kepada salah seorang penerima wanita sempena Majlis Penyampaian Watikah Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Masyarakat Cina dan Ketua Kampung bagi kawasan DUN Sulaman dan Pantai Dalit di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.
Hajiji menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ketua Kampung kepada salah seorang penerima wanita sempena Majlis Penyampaian Watikah Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Masyarakat Cina dan Ketua Kampung bagi kawasan DUN Sulaman dan Pantai Dalit di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah akan menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM3.1 juta kepada 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan khas sebanyak RM100, 000 untuk setiap seorang wakil rakyat pembangkang itu bagi membantu mereka menangani masalah di kawasan masing-masing berikutan penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

"Atas rasa penuh tanggungjawab, saya memberikan peruntukan khas ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Peruntukan ini untuk membantu wakil rakyat pembangkang meringankan beban rakyat di kawasan masing-masing akibat pandemik ini.

"Pemberian peruntukan khas ini sejajar dengan usaha kerajaan GRS yang sentiasa mahu memastikan semua rakyat yang berdepan cabaran pandemik ini dapat dibantu dengan sebaiknya,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Masyarakat Cina dan Ketua Kampung bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan Pantai Dalit.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berharap, peruntukan itu sedikit sebanyak dapat membantu memberi keselesaan kepada rakyat di kawasan DUN yang dikuasai pembangkang.

"Peruntukan khas yang membabitkan jumlah keseluruhan RM3.1 juta itu akan disalurkan secepat mungkin kepada semua ADUN pembangkang melalui Pejabat Daerah di kawasan masing-masing," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung majlis itu, Hajiji berharap semua pemimpin yang baharu dilantik itu dapat membantu kerajaan dalam merealisasikan aspirasi rakyat dan bersama merancakkan pembangunan khususnya di Tuaran.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengharapkan ketua adat yang dilantik dapat memainkan peranan dan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam memartabatkan Mahkamah Anak Negeri. Tingkatkanlah ilmu dalam bidang masing-masing agar dapat menjalankan tugas pengadilan dengan sebaiknya.

“Begitu juga kepada ketua masyarakat Cina dan ketua kampung yang telah dilantik agar dapat menjalankan tanggungjawab secara profesional tanpa mengira fahaman politik, kepercayaan agama dan bangsa di kawasan masing-masing.

“Sebagai pemimpin yang paling dekat dengan masyarakat, ketua kampung dan ketua masyarakat Cina perlu menjadi mata dan telinga kerajaan agar tahu setiap masalah penduduk di kawasan masing-masing, terutama ketika pandemik ini," katanya.

Beliau juga meminta semua pemimpin di peringkat akar umbi bersama kerajaan untuk menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilaksanakan selama lima tahun sehingga 2025 di negeri ini.

Dalam majlis itu, Hajiji turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 117 penerima membabitkan Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Masyarakat Cina dan Ketua Kampung dari kawasan Dun Sulaman dan Pantai Dalit.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim yang juga ADUN Tamparuli; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai (Adun Kiulu); Pembantu Menteri Kewangan, Jasnih Daya (ADUN Pantai Dalit) dan Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Husain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!