Mayat warga emas ditemui terapung dalam parit

Mayat warga emas, Hamidah (gambar kecil) ditemui terapung dalam parit tepi sawah. Foto: PEMBACA SINAR HARIAN
Mayat warga emas, Hamidah (gambar kecil) ditemui terapung dalam parit tepi sawah. Foto: PEMBACA SINAR HARIAN
A
A
A

TELUK INTAN - Kehilangan seorang warga emas berusia 87 tahun sejak dua hari lepas terjawab apabila mayatnya ditemui terapung dalam parit tepi sawah di Parit 8, Chikus, di sini, petang semalam.

Mangsa, Hamidah Hussin, 87, dari Kampung Sungai Tukang Sidin, Langkap, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Parit 8, Chikus sekitar jam 7 malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati mangsa, tinggal bersama anak perempuan yang bergilir menjaganya.

"Difahamkan warga emas berkenaan mempunyai masalah nyanyuk dan sering memaklumkan untuk keluar rumah bertemu rakan-rakannya.

"Pada 10 Februari sekitar jam 7.40 malam pihak polis menerima maklumat daripada orang awam terjumpa satu mayat wanita warga emas dalam parit tepi sawah di Parit 8, Chikus," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya siasatan yang dijalankan mendapati mayat yang ditemui tersebut merupakan wanita warga emas yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sebelum ini.

"Siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian mendapati si mati tersangkut pada batu dalam parit dengan air deras kira-kira 1 kilometer dari lokasi dia dilaporkan keluar rumah pada Sabtu lalu.

"Pemeriksaan yang dijalankan tidak menemui sebarang perbuatan jenayah dan mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah lemas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!