Penganggur didakwa muat naik hantaran komunikasi jelik

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Jenayah Georgetown pada Selasa.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Jenayah Georgetown pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penganggur pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik di laman profil Facebook.

K Haridas, 40, dari Taman Pasir Mas, Seremban, Negeri Sembilan didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran bertajuk 'Talk GE14 - Part 11 #Vote For PH #Kick Out BN, 'So Many Dummy Police Officer In Malaysia' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook 'Defend People's Rights Group' di pautan www.makklada.org pada jam 12.37 tengah hari pada 26 Mac 2018.

Pautan Facebook itu kemudian dibaca pada 28 Mac 2018 jam kira-kira jam 9 pagi di Asia Heights, Lorong Semarak Api 3, Ayer Itam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Huda Muhammad Nazim menawarkan jaminan tidak kurang RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

Hakim Norsalha Hamzah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Norsalha turut mengenakan syarat tambahan tertuduh dilarang memuat naik sebarang hantaran di laman sesawang.

Mahkamah turut menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!