PKP 'bongkar' kes haruan makan anak
SHAH ALAM - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kes jenayah yang berlaku di rumah lebih cepat terbongkar.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, ia termasuk kes haruan makan anak atau sumbang mahram.
Menurutnya, situasi kini menyebabkan ibu, penjaga atau nenek dapat melihat perubahan tingkah laku anak dan cucu mereka kerana banyak masa dihabiskan di rumah.
"Apabila ditanya apakah kes haruan makan anak ini banyak berlaku ketika PKP sekarang, sebenarnya tidak kerana sebelum ini pun telah berlaku.
"Cuma kita tidak boleh menafikan PKP menyebabkan perbuatan itu dikesan," katanya selaku panelis pada Wacana Al-Quran bertajuk 'Maksiat Dalam Rumah' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Isnin.
Kamal Affandi menegaskan, bagi menangani perbuatan terkutuk itu daripada terus berlaku, 'hati' setiap ahli keluarga perlu dihidupkan berlandaskan al-Quran.
"Ini paling penting sebab kalau hati mati, kalau dia baca al-Quran pun ia ibarat burung gagak kita mandi tujuh kali sehari pun, tidak akan putih bulunya.
"Ini yang perlu kita lakukan kerana sebaik-baik manusia juga ialah mereka yang berjaya menundukkan dirinya sendiri," katanya.
Tambah Kamal Affandi, perkara paling penting juga ibu bapa perlu memastikan tidak berlalu gangguan komunikasi dalam rumah.
"Kalau hubungan kekeluargaan itu sihat dan ideal, maka rohnya akan wujud dan semua ahli keluarga akan tahu peranan dan adab masing-masing.
"Dalam soal ini, kita kena berbalik semula siapa khalifah dalam rumah itu kerana dia yang akan menentukan ke mana pelayaran akan pergi," katanya.
Kata beliau, sebagai ibu bapa juga mereka perlu mengawal anak-anak terutama ketika zaman teknologi ini bagi mengelakkan mereka terjebak dengan perkara tidak sihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!