CAC berfungsi untuk nilai tahap pesakit Covid-19
SHAH ALAM - Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang beroperasi di Stadium Malawati di Seksyen 13, di sini berfungsi bagi mengenal pasti tahap keadaan pesakit yang sudah disahkan positif Covid-19.
Pakar Perubatan Keluarga Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Dr Hanisah Shafie berkata, pihaknya akan menguruskan pesakit mengikut tahap kesihatan dan gejala yang dialami.
“Apabila pesakit disahkan positif, mereka akan diberi temu janji ke sini (CAC) untuk kami nilai tahap kesihatan mereka.
“Selepas penilaian di CAC, kami akan masukkan mereka ke pusat rawatan berisiko rendah atau hospital untuk dipantau dan rawatan yang berterusan,” katanya
Beliau berkata, pesakit akan diletakkan di satu tempat menunggu khas sementara kenderaan membawa mereka sama ada ke Hospital Sungai Buloh atau ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Menurut beliau, kebanyakan pesakit yang dihantar ke Hospital Sungai Buloh adalah pesakit yang tidak stabil manakala yang stabil akan di masukkan ke pusat kuarantin dan rawatan Covid-19.
Tambahnya, pada hari pertama CAC terbesar di Malaysia itu beroperasi pada Isnin, seramai 1,048 pesakit mendaftar dan melakukan saringan kesihatan.
Katanya, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 1,000 temu janji sehari namun jumlah yang hadir lebih ramai kerana ada yang datang tanpa temu janji.
“Hari ini (Selasa) (setakat jam 12 tengah hari) kita menerima lebih 400 pesakit dan menjangkakan kira-kira 400 pesakit di sebelah petang,” katanya.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling akan memaklumkan hari temu janji kepada pesakit dalam tempoh 48 jam selepas ujian calitan didapati positif.
Katanya, jika pesakit didapati positif namun ingin membuat janji temu dengan segera mereka boleh menghubungi CAC melalui WhatsApp dan tempoh masa diberi untuk hadir ke CAC bergantung kepada latar belakang pesakit termasuk sejarah penyakit atau bergejala.
Tambahnya, pesakit yang ke CAC diminta membawa bersama persiapan persalinan dan peralatan kendiri yang lain kerana ada kebarangkalian dimasukkan ke hospital.
“Buat masa ini, kami akan memasukkan pesakit ke wad kerana tidak semua mempunyai keadaan rumah yang sesuai untuk kuarantin di rumah dan supaya pesakit dipantau dan dirawat secara berterusan di hospital.
“Sekiranya keadaan kesihatan mereka menurun dalam tempoh isolasi, maka rawatan dapat diberi dengan segera berbanding sekiranya mereka berada di rumah,” katanya.
Pada Ahad, media melaporkan Stadium Malawati di Seksyen 13, di sini, akan dijadikan CAC bagi PKD Petaling mulai Isnin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, berkata stadium itu menggantikan CAC PKD Petaling di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) SS15 sebelum ini.
Beliau berkata, Stadium Malawati dianggarkan boleh memuatkan antara seramai 1,000 hingga 1,500 pesakit berbanding CAC di Dewan MBSJ yang hanya mampu memuatkan maksimum 500 pesakit.
Katanya, pesakit kuarantin di rumah di kawasan daerah Petaling juga boleh ke CAC Stadium Malawati untuk ditamatkan prosedur kuarantin di rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!