Logo Perak FC dapat perhatian Sultan Perak

Khairul Shahril (kanan) pada sidang akhbar menjelaskan Sultan Nazrin memberikan titah nasihat kepada Perak FC agar pertandingan mencipta logo pasukan itu diadakan bagi menggantikan logo sedia ada.
Khairul Shahril (kanan) pada sidang akhbar menjelaskan Sultan Nazrin memberikan titah nasihat kepada Perak FC agar pertandingan mencipta logo pasukan itu diadakan bagi menggantikan logo sedia ada.
A
A
A

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberikan titah nasihat kepada Perak FC agar pertandingan mencipta logo pasukan itu diadakan bagi menggantikan logo sedia ada.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, titah nasihat itu dizahirkan selepas baginda dipersembahkan reaksi penyokong yang kurang berminat dan tidak tertarik dengan logo baharu dilancarkan Perak FC baru-baru ini.

Menurutnya, baginda meminta supaya maklum balas daripada penyokong didengari, dihormati dan diberikan perhatian dengan menganjurkan pertandingan mencipta logo Perak FC tersebut yang dibuka penyertaan kepada rakyat jelata.

"Baginda turut menzahirkan titah peringatan bahawa sukan bola sepak adalah sukan rakyat yang mempunyai paling ramai peminat di negara ini. Oleh itu suara rakyat dan pilihan rakyat wajib diperoleh, dihormati dan didengari.

"Pemilihan logo baharu tersebut hendaklah dilakukan oleh panel penilai terdiri daripada pelbagai pihak yang berpengetahuan, berkepentingan dan berminat, kemudiannya diperakukan bagi pertimbangan dan persetujuan secara kolektif Jawatankuasa Perak FC sebelum diterima pakai sebagai logo rasmi," katanya kepada pemberita menerusi sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota pada Selasa.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, pelancaran pertandingan mencipta logo tersebut akan diadakan pada malam Selasa menerusi saluran media sosial Perak TBG dengan syarat-syarat penyertaan.

Menurutnya, tempoh singkat itu terpaksa dibuat disebabkan kekangan masa yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

"Saya sebenarnya ingin memohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak Perak kerana membiarkan mereka berada dalam keadaan yang agak resah disebabkan situasi ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak boleh memberikan kenyataan rasmi kerana beberapa kekangan, sensitiviti banyak perkara yang diambil kira sebelum membuat sebarang kenyataan tetapi setelah ada perkenan daripada Tuanku hari ini barulah kita menzahirkan apa yang akan kita laksanakan," katanya.

Beliau berkata, pemilihan logo tersebut akan diserahkan kepada peminat untuk mengundi secara dalam talian selepas ahli panel yang dilantik menyenarai 10 logo terbaik.

Katanya, setelah pemilihan logo dimuktamadkan, pencipta logo tersebut akan turut menerima hadiah sebagai tanda penghargaan.

Logo Perak FC yang diperkenalkan sebelum ini menerima kritikan penyokong Perak di media sosial kerana kurang menarik dan tidak seperti diharapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!