Lihat projek tambak laut secara positif
ALOR SETAR- Projek pembangunan komersial berskala besar di Bandar Padang Mat Sirat, Pulau Langkawi perlu dilihat secara positif dalam usaha membantu ekonomi penduduk di pulau pelancongan tersebut.
Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, pulau tersebut memerlukan pembangunan lain bagi menjana ekonomi setempat dan tidak lagi boleh bergantung kepada sektor pelancongan semata-mata.
Menurutnya, projek yang terletak di Lot 978, Seksyen 4 tersebut sudah lama berada di dalam 'blueprint' pembangunan Langkawi dan perancangan tersebut bukannya baru timbul.
"Kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah ini bukannya yang datang dari Kedah pun.
"Kebanyakan NGO dari luar, tolonglah rujuk orang Langkawi sendiri. Orang Langkawi pasti tahu apa yang lebih baik untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan Secara Pandu Lalu kepada waris pelajar kurang berkemampuan di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar pada Selasa.
Mengulas lanjut Suraya berkata, pandemik Covid-19 jelas menjadi pengajaran kepada semua pihak terutamanya pengiat sektor pelancongan yang terkesan sejak setahun lalu.
"Mereka tidak boleh bergantung semata-mata kepada pelancongan. Kita dah rasa setahun yang amat perit untuk mereka. Mereka memerlukan pembangunan yang selain sektor pelancongan," katanya.
Tambah Suraya, projek itu juga akan dibangunkan kedai, tempat perusahaan, perumahan dan institut pengajian tinggi malah orang-orang Langkawi juga mampu miliki aset di kawasan tersebut.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersama 24 badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan bantahan mereka terhadap permohonan oleh sebuah syarikat swasta terhadap tanah kerajaan Kedah seluas 800.9 hektar untuk rancangan pembangunan di Padang Matsirat.
Antara NGO dari Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang terlibat adalah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP); Persatuan Sahabat Wanita Selangor; Yayasan Aman Kedah; Friends of Langkawi Geopark (FLAG), Agora Society Malaysia dan KitaKitar.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, bantahan terhadap permohonan beberapa bidang tanah di Padang Matsirat iaitu di kawasan ‘Break-Water’, Kuala Muda itu telah dinyatakan dalam surat yang diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi pada 2 Februari lalu.
Jelasnya, projek penambakan laut dengan keluasan tersebut akan memberi impak negatif yang ketara terhadap alam sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!