Sindiket tipu warga asing tumpas

Sebuah kereta yang turut dirampas Jabatan Imigresen dalam operasi berkenaan.
Sebuah kereta yang turut dirampas Jabatan Imigresen dalam operasi berkenaan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua lelaki disyaki dalang sindiket menipu warga asing untuk mendaftar dalam Program Rekalibrasi dengan tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan ditahan di Pulau Pinang pada Ahad.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan seorang lelaki warga India, 35, disyaki mengatur penyertaan Program Rekalibrasi yang bertentangan dengan prosedur dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengumpul warga asing yang mempunyai kesalahan Imigresen dan menjanjikan akan dibawa ke Pejabat Imigresen tertentu memandangkan warga asing berkenaan tidak mendapat slot temu janji melalui Sistem Temujanji Online (STO)," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Khairul Dzaimee berkata, setiap warga asing dikenakan bayaran antara RM1,000 dan RM1,500 seorang sebagai bayaran kepada sindiket untuk menguruskan pendaftaran mereka dalam Program Rekalibrasi tanpa perlu membuat temu janji melalui STO seperti ditetapkan oleh Imigresen.

"Sindiket ini disyaki bergerak aktif di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor.

"Turut dirampas dalam operasi ini ialah sebuah kereta jenis Honda City dan wang tunai sejumlah RM4,000," katanya.

Beliau berkata, operasi itu hasil kerjasama dan risikan Bahagian Perisikan, Analisa dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Putrajaya bersama Pulau Pinang.

"Risikan dijalankan selama lebih kurang satu bulan bagi mengesan dan menumpaskan sindiket berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua dalang sindiket itu ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

"Lelaki warga tempatan ditahan reman selama tujuh hari manakala lelaki warga India pula ditahan di Jabatan Imigresen Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Khairul Dzaimee menegaskan Jabatan Imigresen tidak pernah melantik orang tengah atau mana-mana pihak untuk menguruskan Program Rekalibrasi.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan orang tengah dan tidak menggunakan khidmat ejen bagi menyertai Program Rekalibrasi ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!