Covid-19: Kluster Pasai menjangkiti enam generasi
PUTRAJAYA - Kluster Pasai yang melibatkan beberapa daerah di Sarawak kini telah menjangkiti enam generasi yang dijangkiti Covid-19 sejak kes pertama dilaporkan 9 Januari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan Covid-19 turut membabitkan 58 rumah panjang.
"Setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 2,373 kes positif hasil 25,500 saringan dilakukan," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.
Menurutnya, kluster berkenaan turut menjangkiti 46 petugas kesihatan di kawasan yang terjejas.
"Mereka (pesakit) datang ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan tetapi mungkin petugas kesihatan fikirkan ia zon hijau, maka jangkitan telah berlaku, katanya.
Beliau berkata, nilai kitaran ambang bagi Kluster Pasai adalah tinggi sekali gus menunjukkan kadar kebolehjangkitan sudah berkurangan.
"Strategi KKM awal lagi adalah untuk melindungi golongan rentan iaitu penduduk di pedalaman seperti rumah panjang dan orang asli.
"Kes ini berlaku apabila kes indeks pulang dari Johor ke Sarawak kerana ayahnya meninggal dunia.
"Sepatutnya dia dikuarantin di hotel tetapi menjalaninya di rumah panjang," katanya.
Kluster Pasai mula dikesan di Sibu telah menjadi penyumbang terbesar kes positif Covid-19 di Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!