Wanita buta, kudung kaki terharu terima rumah baharu
TANJONG KARANG - Seorang wanita yang kudung kaki kanan dan buta sebelah mata terharu apabila menerima rumah baharu hasil bantuan zakat daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bernilai RM30,000.
Hamidah Ahmed, 60, berkata, kediaman dihuni bersama suaminya, Mohamad Yusof Sedik, 68, di Kampung Bagan Tengkorak sejak 18 tahun lalu itu terlalu uzur berikutan keadaan bumbung bocor dan struktur kayu yang semakin mereput.
Malah katanya, rumah yang didiami mereka itu sering diceroboh sekumpulan monyet liar yang keluar mencari makanan.
“Paling menyedihkan haiwan ini bukan sahaja menyelongkar makanan, malah turut meninggalkan najis di dalam rumah,” katanya semasa Majlis Penyerahan Program Bina Rumah Baharu PUNB di Parlimen Tanjong Karang di sini pada Selasa.
Hamidah berkata, dia tidak berkemampuan menyewa rumah lain berikutan tidak bekerja sebaliknya hanya bergantung kepada suaminya yang bekerja sebagai penjual ikan keli di Pasar Sekinchan.
Katanya, dia yang turut menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi hanya bergantung harap kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.
“Wang bantuan ini saya gunakan untuk berulang-alik ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menjalani rawatan saraf buah pinggang.
“Saya bersyukur kerana keprihatinan Tan Sri (Noh Omar) yang mengambil berat dan terus membantu apabila mengetahui kami amat terdesak memerlukan rumah baharu yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, sehingga kini sebanyak enam buah rumah baharu dibina PUNB di Parlimen Tanjong Karang membabitkan peruntukan sebanyak RM180,000.
Malah, katanya, sebanyak dua buah rumah penduduk juga dibaik pulih membabitkan peruntukan sebanyak RM10,000.
“Kesemua penerima sumbangan merupakan asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan layak mendapat bantuan zakat PUNB,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!