Puak pelampau rekrut tentera AS: Pentagon
WASHINGTON - Pentagon mengakui wujud usaha dalam kalangan kumpulan ekstremis di Amerika Syarikat (AS) untuk merekrut anggota tentera di negara itu.
Perkara tersebut didedahkan jurucakap tertinggi Jabatan Pertahanan (DoD) pada Isnin, sekali gus mengesahkan laporan media bahawa kumpulan pelampau sayap kanan dan ketuanan kulit putih sedang giat mencari ahli baharu dalam kalangan individu yang mempunyai latar belakang ketenteraan.
"Sebilangan kumpulan ini sangat teratur dan agresif dalam merekrut anggota yang bakal meninggalkan pasukan tentera," kata John Kirby.
Minggu lalu, Setiausaha Pertahanan AS, Llyod Austin mengarahkan DoD untuk mengatasi masalah tersebut hingga ke peringkat akar umbi.
Sejak kebelakangan ini, kumpulan militia berhaluan kanan dilapor menyasarkan anggota dan bekas tentera AS kerana kemahiran mereka mengendalikan senjata api selain pengalaman di medan perang.
Kebimbangan mengenai isu itu semakin ketara selepas rusuhan di bangunan Capitol pada 6 Januari lalu yang menyaksikan lima terbunuh termasuk seorang pegawai polis.
Menurut analisis berdasarkan kes di mahkamah, hampir satu daripada lima individu yang didakwa susulan rusuhan itu adalah anggota yang sedang berkhidmat atau veteran tentera. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!