Beza pandangan enam golongan
HAMPIR setahun kita mengharungi kehidupan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP 1.0 dikatakan PKP yang berjaya.
Pematuhan rakyat ketika itu amat tinggi. Hasilnya, kita hampir menang menangani pandemik sehingga mendapat perhatian dan pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kemudian, datang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020 dan kes-kes baharu meningkat kepada tiga angka. Kempen dan perhimpunan ramai dikatakan antara penyumbang peningkatan kes Covid-19. Tidak lama kemudian, merentas negeri dibenarkan sempena Krismas dan angka kes baharu kian meningkat hingga empat angka.
Ramai tidak sedar mereka adalah pembawa virus Covid-19 dan menjadi penyebarnya apabila bergerak merentas negeri. Kini kita dalam keadaan malang apabila terpaksa mengharungi PKP 2.0 dan dalam suasana darurat pula.
Terdapat beberapa golongan yang boleh kita kenal pasti berhubung pendirian mereka terhadap Covid-19. Yang pasti, ada golongan yang menyokong apa yang kerajaan lakukan dan golongan yang kritis.
Kini, kejayaan awal pihak kerajaan menangani Covid-19 telah dilupakan. Manifestasi kekecewaan itu telah menyelinap ke laman Facebook Istana Negara dan Facebook Presiden Indonesia, Jokowi baru-baru ini apabila sebilangan netizen melepaskan kekecewaan mereka terhadap Perdana Menteri.
Atas apa pun alasan, jika disusuri, sebilangan netizen yang mengkritik Perdana Menteri di kedua-dua laman itu adalah daripada golongan aktivis politik. Tujuan mereka hanya satu – Parlimen dibubar dan Pilihan Raya Umum diadakan. Itu sahaja.
Satu lagi golongan terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai pengalaman secara langsung dengan pandemik. Tiada sesiapa pun dalam kalangan keluarga, rakan sepejabat, jiran tetangga mahupun mereka yang rapat menghidap Covid-19. Mereka tidak nampak bahaya dan kesannya. Justeru, mereka berpendapat PKP dan prosedur operasi standard (SOP) adalah tindakan yang menghalang aktiviti mereka, khususnya aktiviti ekonomi. Mereka mahu PKP segera ditamatkan.
Golongan percaya dengan teori konspirasi pula yakin bahawa Covid-19 adalah ciptaan manusia yang bertujuan mengurangkan jumlah penduduk dunia. Kononnya, Covid-19 disebarkan dari makmal di Wuhan, China.
Pelakon
Kata mereka, mangsa Covid-19 pada peringkat awal adalah pelakon yang menggelupur di kaki lima untuk menimbulkan ketakutan manusia. Kata mereka, jika benarlah Covid-19 bukan ciptaan, mengapa kini tiada lagi manusia yang tergeletak di mana-mana?
Terdapat juga golongan agamawan yang mempersoalkan mengenai penjarakan fizikal di masjid dan surau. Ia dikatakan sebagai menghalang umat Islam beribadat dan berdoa kepada ALLAH SWT agar menolak Covid-19. Jika umat Islam tidak diberi peluang untuk kembali kepada ALLAH SWT, bagaimana Covid-19 dapat dihapuskan?
Golongan pernah berdepan Covid-19 iaitu pesakit, kontak rapat seperti keluarga dan rakan sepejabat adalah golongan yang sudah rasa jerihnya berdepan penyakit itu. Mereka perlu melakukan penjarakan fizikal di rumah dan hidup penuh kebimbangan. Itulah golongan yang akan akur dengan langkah pencegahan pihak berwajib.
Dan akhir sekali adalah golongan hero-hero tak didendang. Barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pelbagai NGO masih berperang tanpa sempat menoleh dan mendengar apa-apa komplen golongan lain.
Covid-19 adalah pandemik dunia. Kalau benarlah ia konspirasi, ia belum dibuktikan lagi. Kalaupun ia dikatakan sebagai peluang syarikat-syarikat farmaseutikal buat untung, dalam dunia kapitalis, apa sahaja yang boleh menjadikan duit akan dikejar oleh sesiapa sahaja para pemainnya.
Covid-19 adalah penyakit seperti selesema yang boleh membawa maut bagi sesetengah yang lain, cuma kita tidak boleh memilih untuk membuang hingus ataupun berdepan dengan ajal!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!