Pendidikan celik, pendidikan buta
SETELAH 33 tahun menjadi ahli akademik, saya simpulkan usaha pendidikan kita ada dua jenis – satu saya gelar pendidikan celik dan satu lagi pendidikan buta.
Ramai orang awam beranggapan bahawa kalau sudah pergi sekolah, maka boleh jadi pandai. Kalau pergi universiti maka lagilah berkali ganda besarnya habuan.
Kalau ada PhD, tak tahulah besar mana nak kata lagi. Tetapi saya sudah tengok pendidikan kita dari sekolah rendah sampailah ke peringkat PhD.
Bagi saya, kebanyakannya adalah bersifat pendidikan yang tidak ‘memandaikan’ tetapi membutakan pandangan, perspektif dan sikap.
Biar saya tafsirkan dahulu apa maksud saya tentang pendidikan celik dan kemudiannya pendidikan buta. Lepas itu saya bagi beberapa contoh, pembaca fikirlah sendiri yang mana buta dan yang mana celik.
Tak payah pergi universiti, ALLAH dah bagi mukjizat pemikiran itu kepada kita. Cuma kita tak pernah guna sebab asyik tanya ustaz segala-galanya.
Bagi saya, kebanyakan ustaz itu adalah golongan yang pendidikannya buta tuli. Jadi, yang buta nak pimpin yang buta. Si profesor pun lebih kurang juga butanya.
Saya tak kata mereka ni ‘bodoh’ atau ‘bangang’ tetapi mereka buta kerana hanya ada satu perspektif dalam banyak perkara.
Bagi saya, pendidikan celik adalah bagaikan suatu usaha untuk membekalkan musafir dengan bekalan sedikit makanan dan selebihnya perkakasan atau peralatan.
Perkakasan dan peralatan bagi seorang yang musafir adalah penting sebab dengan peralatannya, dia boleh membekalkan dirinya sendiri dengan makanan, lindungan dan pakaian.
Begitu juga dengan pendidikan. Kita ajar A, B, C, Alif Ba Ta dan 1, 2, 3. Lepas boleh membaca dan faham makna perkataan asas dan selepas boleh mengira campur tolak bahagi dan mendarab, maka kita bina pengetahuan sendiri tentang dunia ini.
Pendidik sistem pendidikan celik hanya akan tunjuk ajar sikit-sikit dan bagi buku untuk baca, bagi masa untuk bincang, bagi peluang luas untuk soal dan bagi peluang lebih luas untuk pelajar berceloteh pandangan dan idea mereka. Adakah perkara itu dibuat di sekolah?
Saya rasa di sekolah dapat buku teks satu dan buku kerja sampai empat, maka setelah khatam jawab soa-lan bersilibus lima buah buku tadi, habis cerita. Tak sempat pelajar nak soal sebab kena cepat habiskan kerja rumah. Tak sempat pelajar nak bersyarah dan bertukar idea sebab nak studi untuk exam besok hari.
Ilmu disajikan macam beli Happy Meal McDonald’s, siap dengan kotaknya dan straw sekali. Tak payah fikir panjang. Ilmu sejarah, sains, agama semua sudah dipakejkan. Tinggal lagi tunggu orang Panda atau Budak Grab yang tolong bawa ke hulu dan ke hilir untuk disajikan.
Kesimpulannya, pendidikan celik memberi beberapa perspektif sejarah, beberapa naratif agama dan beberapa pandangan sains. Bukan bungkusan-siap-hantar.
Apa yang disajikan sekarang adalah pendidikan satu perspektif, maka itu saya sifatkan ia sebagai pendidikan buta. Pendidikan yang berteraskan satu perspektif, satu pandangan dan satu naratif adalah segelap-gelapnya pendidikan.
Graduan pendidikan buta perlu dipimpin, sebab dia nampak satu saja arah. Saya pernah soal budak PhD buat tesis tentang masjid. Saya tanya perspektif Islam mana yang kamu pakai dalam mentafsirkan makna masjid? Dia tergamam.
Saya bantu, kamu pakai perspektif Islam modenis, reformis, traditionalis, JAWI, JAKIM, PAS, IKRAM, ABIM, ISMA, Tabligh dan 20 lagi.
Bukan saja pelajar tergamam tetapi penyelia pun terdiam. Ini viva atau periksa PhD seni bina ke atau politik Islam? Saya kata saya nak nilai seni bina masjid kamu, saya nak tahu Islam mana. Kalau ada 40 ideologi politik atau pendekatan kosmologi Islam, maka ada 40 jenis perancangan dan reka bentuk masjid.
Calon dan penyelia tak tanya pun soalan itu. Sebab kedua-duanya pandang Islam satu perspektif saja. Saya tanya seorang calon lagi, yang buat kajian tentang kanak-kanak dan konsep pendidikan sambil bermain di laman sekolah.
Saya tanya pelajar itu, “Baiklah kalau saya Menteri Pendidikan, apa saranan kamu untuk tukar salah satu polisi pembinaan sekolah?” Pelajar tengok penyelia dan penyelia tengok pengerusi. Pengerusi kata, jawablah. Pelajar kata, “Kami tak masuk bab politik dalam kajian Prof!”
Saya kata, “Habis tu, apa yang kamu nak buat dengan tesis ini?” Nampaknya itu sajalah tujuan PhD di Malaysia ini. Dapat terbit kertas kajian dan dapat sijil kedoktoran. Sebab tu saya tulis tentang ‘The Doctorate without Philosophy’ di sebuah akhbar.
Saya sebenarnya tak tahulah ke mana akhirnya nasib kita semua dengan pendidikan buta ini. Yang saya tahu orang buta kalau tak terpimpin ia akan terjerlus dalam longkang. Tetapi kalau dia dipimpin orang, maka akhirnya dia jatuh dalam parit besar sebab yang memimpin itu ada agenda tersirat untuk untung diri. Salah silapnya kita juga akhir sekali.
Ramai orang awam beranggapan bahawa kalau sudah pergi sekolah, maka boleh jadi pandai. Kalau pergi universiti maka lagilah berkali ganda besarnya habuan.”
* Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Profesor Seni Bina di UCSI University
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!