Selangkah tak sejahtera
AWANG terkejut juga bila dengar kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa memang ada masalah antara ‘Selangkah’ dan ‘MySejahtera’.
Yang satu milik kerajaan Selangor, yang satu milik kerajaan Malaysia. Dua-dua punya tujuan yang sama – nak kesan pergerakan rakyat pada waktu wabak Covid-19.
Dalam perbualan dengan Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, Tan Sri Johan Jaaffar dan Datuk Seri Wong Chun Wai, Menteri Besar berkata memang ada masalah dari segi perkongsian data.
Masalah ini bukan baru katanya. Kerajaan negeri memang nak kongsi data tapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) nampaknya enggan.
Awang rasa pelik juga kenapa ada Selangkah apabila dah ada MySejahtera? Kenapa tak gunakan satu sahaja? Takut nanti negeri lain akan buat juga aplikasi imbas pergerakan yang lain, bagi pula nama Sederap, Sejalan, Segerak atau entah apa lagi.
Kalaulah ada keperluan kerajaan Selangor buat Selangkah, kenapa pula KKM tak mahu berkongsi data?
Inilah antara masalah besar dalam menangani wabak ini. Tak satu hati. Pendeknya semuanya dipolitikkan.
Dalam soal perangi wabak pun masih ada politik. Masih nak jaga dan kawal kawasan. Patutnya satu matlamat. Nak putus rangkaian Covid-19. Nak jaga keselamatan rakyat. Makin lama rakyat makin hilang sabar.
Inilah kata orang, perkara yang mudah disusahkan. Siapa yang rugi?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!