Menteri pun tak kebal virus
SUDAH menjadi kebiasaan, setiap hari rakyat Malaysia menanti dengan penuh minat mengenai pengumuman dan penetapan prosedur operasi standard (SOP) baharu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.
Kelonggaran peraturan PKP untuk beberapa sektor seperti membenarkan operasi kedai gunting rambut dan premis cuci kereta adalah antara penyesuaian SOP bagi membantu peniaga dan rakyat.
Bagaimanapun pada pagi Selasa, kelonggaran SOP untuk para menteri agak mengejutkan ramai pihak.
Menerusi satu siaran rasmi e-warta Persekutuan, para menteri yang menyertai lawatan rasmi ke luar negara dikatakan tidak perlu menjalani SOP standard 10 hari seperti yang ditetapkan kerajaan untuk mereka yang masuk dari luar negara.
Peliknya, tempoh tersebut bukan dikurangkan sehari dua, sebaliknya dipotong hingga tujuh hari. Ini kerana para menteri hanya perlu mengkuarantikan diri selama tiga hari.
Agak menghairankan sebelum ini kerajaan sendiri menguar-uarkan kepada rakyat bahawa tempoh kuarantin 10 hingga 14 hari adalah kerana kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan.
Maka akhirnya, bukan sedikit yang mempertikai kelonggaran SOP untuk pak menteri. Yang pasti, bergelar kenamaan dan menteri tidak bererti seseorang itu kalis dan kebal daripada dijangkiti virus Covid-19.
Malah lebih membimbangkan, para Menteri merupakan individu yang sarat dengan jadual bertemu ramai orang. Baik kakitangan kementerian menerusi sesi mesyuarat atau perjumpaan dengan rakyat.
Sebagai contoh ramai yang masih ingat bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hanya disahkan positif Covid-19 pada hari ke-10 beliau pulang dari Sabah.
Malah dari tempoh 25 September hingga 4 Oktober 2020 itu, Zulkifli telah singgah di lima negeri, tiga masjid dan tiga institusi pengajian tinggi untuk menghadiri pelbagai program.
Sebaiknya kerajaan menilai kembali kelonggaran tersebut yang kini menjadi buah mulut ramai ibarat satu SOP yang double standard antara menteri dan rakyat biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!