Pemandu maut nahas dua kereta
JEMPOL - Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 6 Jalan Bahau-Rompin, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Mohamad Zamirhakim Rahmad, 23, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamudin Hashim berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, akibat daripada itu kenderaan mangsa dipercayai merempuh sebuah kereta Honda Civic dinaiki empat beranak.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dipandu mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke arah Rompin, telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Honda Civic itu.
"Dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpangnya cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Jempol," katanya.
Muhd Nur Hishamudin berkata, pemandu kereta Honda Civic yang berusia 35 tahun itu patah kaki kiri serta cedera di badan dan dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan susulan, manakala isterinya dibawa ke Hospital Kuala Pilah, dan dua anak mereka tidak mengalami kecederaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!