Dari studio berhawa dingin ke kebun timun
KUANTAN - Bekerja di dalam studio berhawa dingin menjadi kenangan buat Muhammad Rusydan Fikri Mohd Roslan yang kini perlu menahan terik matahari dalam rutin harian menguruskan kebun timun yang mula diusahakan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.
Anak jati Kuantan itu mula mengusahakan kebun yang terletak di Pandan di sini sekitar Ogos tahun lepas setelah studio grafik dan pengiklanan yang menjadi punca rezekinya kurang mendapat sambutan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.
Keadaan itu menyebabkan Muhammad Rusydan Fikri, 27, hanya sempat berada dalam bidang grafik lebih kurang dua tahun selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Visual, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada tahun 2018.
"Saya perlu mencari alternatif lain kerana bertanggungjawab menjaga ibu sebagai anak lelaki sulung kerana sudah kematian ayah. Bapa saudara mencadangkan supaya saya menanam timun kerana menurutnya tanaman itu antara yang senang dijaga dan mudah mendapat pulangan modal.
"Rasa takut pada awalnya memang ada kerana saya tiada pengalaman selain meminjam wang daripada ahli keluarga untuk mendapatkan modal permulaan RM8,000. Ini lebih kepada mencuba kerana saya hanya sempat belajar selama beberapa jam daripada lawatan ke kebun timun di Temerloh," katanya kepada Bernama semasa ditemui di kebunnya di sini baru-baru ini.
Muhammad Rusydan Fikri berkata, beliau menyewa tanah seluas satu ekar (kira-kira 0.4 hektar) bagi tujuan itu dan buat masa ini, dibantu oleh bapa dan ibu saudaranya serta seorang rakan untuk 'mengerjakan' kebun meliputi tugasan menyiram, membaja dan meracun mulai awal pagi hingga 6 petang.
Semua penat lelah itu berbaloi apabila mereka menuai hasil pertama pada Oktober tahun lepas yang mencecah sehingga ratusan kilogram sehari sebelum timun itu diasingkan mengikut gred dan dibungkus untuk 'ditolak' kepada penjual pasar borong pada harga 70 sen sekilogram.
"Kali pertama memungut hasil teringat kepada kata-kata rakan yang mempersoalkan niat saya...maklumlah kerja ini tidak popular untuk orang muda. Tapi saya seronok bekerja sendiri dan badan juga lebih sihat kerana banyak tenaga digunakan," katanya dan menambah berat badannya susut tujuh kilogram sejak mula berkebun.
Menyedari ramai individu lain turut terkesan dengan pelaksanaan PKP, Muhammad Rusydan Fikri turut memberikan timun percuma kepada mereka yang memerlukan khususnya kepada peniaga makanan kecil-kecilan sebagai usaha membantu mengurangkan beban kewangan mereka.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkongsi cerita bahawa pada tuaian pertama, beliau membungkus timun dan 'berlegar-legar' di sekitar bandar Kuantan pada sebelah petang untuk bertemu peniaga gerai makanan bagi bertanya jika mereka menggunakan sayuran itu dalam masakan.
"Bagaimanapun, untuk kali ini saya tidak sempat berbuat demikian kerana tidak cukup orang (di kebun). Tapi saya berkongsi dalam media sosial bahawa mereka yang memerlukan timun boleh datang ke kebun dengan syarat membawa plastik sendiri dan memakai pelitup muka.
"Jika mereka berkeras mahu membayar saya minta mereka memberi seikhlas hati. Untuk yang kurang berkemampuan, jangan segan kerana saya memang berniat untuk memberi secara percuma. Timun yang diberikan adalah yang dipetik setiap hari kerana saya percaya sedekah perlu barangan yang baik," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!