Wanita tertua di Eropah pulih Covid-19

Lucile Randon menyambut kelahiran 117 tahun pada Khamis. - Foto AFP
Lucile Randon menyambut kelahiran 117 tahun pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

TOULON - Seorang biarawati dari Perancis merupakan individu tertua di Eropah yang telah sembuh daripada jangkitan Covid-19 beberapa hari sebelum dia menyambut ulang tahun ke-117.

Menurut laporan BBC, Lucile Randon yang mendapat gelaran Sister Andre pada tahun 1944 positif Covid-19 pada 16 Januari tetapi tidak mengalami sebarang gejala.

Dia memberitahu media tempatan bahawa dirinya tidak menyedari dijangkiti wabak itu.

Bagaimanapun dia mengasingkan diri daripada penduduk lain di rumah jagaan di Toulon, selatan Perancis dan kini pulih sepenuhnya.

Beliau yang buta dan menggunakan kerusi roda tidak sabar menyambut ulang tahun pada Khamis walaupun acara itu hanya bersama kelompok kecil penduduk.

Ketika ditanya oleh media Perancis BFM apakah dia takut jangkitan Covid-19, Sister Andre berkata: "Tidak, saya tidak takut, kerana saya tidak takut mati."

"Saya gembira dapat bersama anda, tetapi saya ingin berada di 'tempat lain' untuk menyertai kakak, datuk dan nenek saya yang sudah meninggal dunia," katanya.

Jurucakap rumah jagaan Sainte Catherine Labouré, David Tavella menyifatkan Sister Andre adalah individu yang sangat beruntung.

Artikel Berkaitan:

Kata David, rutin harian hanya bertanya jadual makan dan waktu tidur tanpa bimbang virus yang telah membunuh jutaan rakyat di seluruh dunia.

"Dia tidak takut akan penyakit ini. Sebaliknya, dia sangat prihatin terhadap penduduk lain," katanya.

Sister Andre dilahirkan pada 11 Februari 1904 dan merupakan individu tertua di dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!