KAJANG - Mahkamah Seksyen Klang pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara 33 tahun terhadap seorang lelaki selepas dia mengaku bersalah melacurkan isteri dan anak kandungnya. Tertuduh berusia 44 tahun turut didakwa merogol anak kandungnya itu. Hakim, Roszianayati Ahmad menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dari tarikh tangkap dan RM10,000 pampasan atas kesalahan melacurkan isteri dan sekiranya gagal membuat bayaran pampasan, tambahan enam bulan penjara akan dikenakan. Bagi kesalahan melacurkan anak, hukuman 18 tahun penjara dari tarikh tangkap dan bayaran pampasan RM10,000. Sekiranya gagal membuat bayaran pampasan, tambahan enam bulan penjara turut dijatuhkan. Kedua-dua hukuman akan dijalankan secara berasingan yang menjadikan keseluruhan hukuman penjara selama 33 tahun dan pampasan berjumlah RM20,000. Pertuduhan dijalankan di bawah Seksyen 13(b) dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Mohd Hassan menerusi kenyataan pada Rabu berkata, orang ramai diseru untuk terus melaporkan kepada pihak polis berhubung kejadian sebegini. "Ini memastikan pesalah-pesalah ini dapat dihadapkan ke muka pengadilan dan mendapat hukuman yang sewajarnya. "Polis sekali lagi ingin menegaskan kepada orang ramai bahawa perlakuan jenayah atas kesalahan ATIPSOM merupakan kesalahan yang serius dan akan diambil tindakan yang tegas di sisi undang-undang," katanya.