'BMW Product Genius Programme' pakar terlatih BMW
BMW Malaysia memperkenalkan program Pakar Produk BMW (BMW Product Genius Programme) buat julung kalinya di Malaysia, dengan tujuh BMW Product Genius yang telah pun dilatih dan ditempatkan di tiga premis pengedaran di sekitar Lembah Klang.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia Harald Hoelzl berkata, BMW Product Genius ini akan membantu pelanggan membuat pembelian tanpa sebarang tekanan.
“Daripada interaksi peribadi yang dijalin, kami mahu para pelanggan merasakan pengalaman pemilikan BMW yang tiada tolok tandingannya di peringkat paling awal.
“Program ini juga perlu melalui sebuah proses pemilihan yang teliti dan mereka dilatih menerusi pusat pengedaran yang terpilih di bawah penyeliaan BMW Malaysia, sebelum mereka layak digelar sebagai pakar jenama dan produk BMW,” katanya.
Tambah Harald Hoelzl lagi, peranan mereka sinambungkan tugas seorang Penasihat Jualan kerana mereka memberi tumpuan untuk membantu pelanggan dalam pelbagai aspek yang melibatkan portfolio kenderaan BMW, bermula daripada menganalisis persembahan produk sehingga ke penawaran khidmat pandu uji.
Mereka juga dibekalkan dengan kemahiran untuk menjelaskan dan mendemonstrasikan kegunaan setiap ciri dan fungsi kenderaan BMW dan menawarkan maklumat yang dikehendaki terhadap manfaat sesebuah produk yang sesuai untuk keperluan spesifik pengguna.
BMW Product Genius turut berperanan sebagai perunding pelanggan yang neutral, duta bagi jenama BMW serta sebagai titik sentuh pengetahuan dalam premis pengedaran tersebut.
Menerusi program perintis yang diperkenalkan pada tahun lepas, gerombongan pertama BMW Product Genius telah dilatih dan ditempatkan pada awal Disember di tiga pusat pengedaran yang terletak di Lembah Klang, Auto Bavaria Kuala Lumpur, Auto Bavaria Glenmarie dan Ingress Auto Damansara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!