Op Benteng: 55 PATI ditahan, tujuh kenderaan dirampas
SHAH ALAM - Seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) pada Selasa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam operasi itu pihak berkuasa turut merampas tujuh kenderaan darat serta tiga kapal dan bot.
"Pihak berkuasa turut mengesan 88 buah bot dan kapal di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu beliau berkata, anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat 57 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara pada Selasa.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 57 tapak binaan beroperasi dan mematuhi SOP.
"Secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 15,188 pemeriksaan melibatkan 8,602 tapak binaan sejak 20 April 2020," katanya.
Menurutnya, seramai 43 warga asing didapati positif Covid-19 hasil saringan wajib pekerja warga asing melibatkan 10,321 orang pada Selasa.
"Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 342,537 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 15,297 majikan.
"Daripada jumlah ini, seramai 6,457 orang telah disahkan positif Covid-19 manakala 336,080 lagi adalah negatif," katanya.
Ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!