Pokok pun nak curi
KUALA LUMPUR - Pokok hiasan jenis Aglaonema 'Red Master‘ yang ditanam di Jalan Desa Kiara, Mont Kiara, di sini telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, pokok yang ditanam oleh Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi bagi tujuan pengindahan landskap di kawasan tersebut didapati hilang sewaktu pemantauan dan lawatan rutin oleh petugas.
Menurutnya, DBKL mengingatkan orang awam bahawa perbuatan mengambil tanaman landskap itu boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
"Mereka yang mengambil pokok-pokok ini mungkin berminat kerana bentuknya yang unik dan warnanya yang menarik.
"Tetapi tahukah anda, tindakan ini merupakan salah satu musnah laku (vandalism) yang membolehkan anda didenda tidak lebih RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
"Jadi pastikan minat anda itu tidak menyebabkan anda didenda," menurut kemas kini di Facebook DBKL pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!