Cadangan pengurangan di sektor keselamatan perlu dikaji
JOHOR BAHRU - Kerajaan disaran menambah jumlah kakitangan awam yang berkhidmat di sektor keselamatan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, berikutan itu, langkah kerajaan untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam perlu dikaji semula.
Menurutnya, isu keselamatan tidak boleh dikompromi kerana dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan negara berbanding sektor lain.
"Saya faham kerajaan ada mengumumkan tentang pengurangan kakitangan awam tetapi mengikut pandangan saya, untuk sektor keselamatan ini kerajaan perlu mengkajinya.
"Ini kerana sektor keselamatan ini tidak boleh dikompromi. Sekiranya anggota keselamatan dikurangkan akan menjejaskan keselamatan negara. Mungkin di sektor lain tidak mengapa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Lawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri ke Kompleks Kuarantin Imigresen dan Kastam (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Imigresen negeri, Datuk Rohaizi Bahari dan Pengarah Kastam negeri, Mohammad Hamiddan Maryani.
Mohd Azis berkata, pihaknya akan memanjangkan perkara tersebut di peringkat kementerian sebelum dibawa ke peringkat kabinet untuk dibincangkan.
"Kita minta supaya pengurangan kakitangan awam tidak termasuk dalam sektor keselamatan memandangkan isu persempadanan negara terlalu besar untuk dikawal dan bukannya kerja yang mudah," katanya.
Beliau berkata, pada ketika ini, berlaku pengurangan anggota keselamatan yang bertugas di KIK BSI, di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah yang mana kedua-duanya merupakan pintu utama masuk ke negara ini dan mencatatkan sekitar 326,000 kemasukan setiap hari.
"Dianggarkan sekitar 2,000 anggota keselamatan Imigresen yang bertugas di kedua-dua pintu ini secara bergilir setiap hari, namun masih tidak mencukupi sedangkan kedua-dua pintu masuk itu turut mencatatkan 75 peratus kemasukan pelancong ke negara ini.
"Ini bermakna, jumlah trafik masuk ke negara ini sememangnya memerlukan KA yang mencukupi baik dari Imigresen, Kastam, Polis dan Rela," katanya yang memberitahu terdapat 200 kekosongan perjawatan Imigresen perlu diisi ketika ini di kedua-dua pintu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!