Kebenaran menduduki percuma SJKT Ladang Sungai Ular
ALOR SETAR - Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Ular di Kulim diberikan kebenaran untuk menduduki secara percuma di atas tanah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) oleh kerajaan negeri Kedah.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebenaran menduduki secara percuma di Mukim Sungai Ular tersebut akan diperbaharui pada setiap tiga tahun.
Menurutnya, sekolah tersebut terletak di atas tanah seluas 0.447 hektar.
"Sekolah ini sudah lama. Minggu lepas saya memutuskan dalam mesyuarat lembaga pengarah (PKNK) untuk memberikan kebenaran kepada sekolah ini bagi menduduki secara percuma dan diperbaharui kebenaran menduduki setiap tiga tahun," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, pengumuman itu adalah sejarah baharu kepada kawasan tersebut.
Sekolah tersebut ditubuhkan pada 1936 di kawasan perumahan ladang di atas tanah milik PKNK untuk memberikan pendidikan kepada 35 pelajar pada waktu itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!