Lima individu cedera dalam insiden tembakan di klinik
WASHINGTON - Lima individu cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di Klinik Kesihatan Allina, Minnesota, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.
Lelaki itu, Gregory Ulrich bertindak sedemikian selepas tidak berpuas hati dengan rawatan yang diterimanya.
Imej-imej televisyen tempatan menunjukkan tingkap-tingkap klinik tersebut pecah tetapi masih tidak jelas sama ada ia disebabkan oleh tembakan tersebut atau letupan.
Polis kemudian berjaya menangkap Ulrich.
Ketua Polis Buffalo, Pat Budke memberitahu sidang akhbar bahawa Ulrich, 67, menaruh dendam terhadap klinik tersebut.
"Dia mempunyai sejarah sejak beberapa tahun lalu. Pastinya terdapat satu sejarah dia tidak berasa gembira tentang penjagaan kesihatan yang diterimanya," kata Budke seperti dilaporkan oleh AFP.
Lima orang dibawa ke hospital, ujar seorang pegawai tanpa mendedahkan tahap kecederaan yang dialaminya.
Budke berkata, terdapat satu letupan sebelum kejadian tembakan tersebut berlaku.
Menurut akhbar Star Tribune, suspek tersebut berkata, terdapat bom di tempat kejadian sebelum dia ditangkap.
Polis berkata, ia menemui sebuah bungkusan yang mencurigakan ketika memeriksa bangunan itu.
Seorang saksi memberitahu stesen televisyen Fox 9 berkata, ketika di membawa ibunya untuk mendapatkan rawatan di klinik berkenaan, dia terlihat dua jururawat berlari dari klinik itu.
"Mereka (jururawat-jururawat itu) mendengar bunyi 11 tembakan dalam masa satu minit. Mereka takut dan keluar dari tempat tersebut," kata wanita berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!