Pengusaha kedai makan sambut baik keputusan kerajaan

Pelanggan menikmati hidangan di kedai makan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Pelanggan menikmati hidangan di kedai makan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha restoran dan kedai makan menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis mereka berkuat kuasa pada Rabu.

Khabar gembira itu memberi kelegaan kepada pengusaha terbabit selepas pendapatan mereka terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari yang lalu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Kuala Lumpur mendapati pelanggan sudah mula makan di kedai dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu dua orang semeja selain pemeriksaan suhu badan, dan mengimbas aplikasi Mysejahtera.

Pemilik kedai makan Briyani 101, Zulkifli Ahmad bersyukur apabila kerajaan membenarkan pelanggan untuk menikmati hidangan di premis bermula Rabu.

Katanya, dia berharap pendapatannya meningkat selepas terkesan gara-gara pelanggan tidak dibenarkan makan di premis.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan kerajaan kerana ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban peniaga kecil seperti kami.

“Sebelum ini, tiada pelanggan datang makan dan pendapatan saya merosot sehingga 50 peratus. Saya tertekan kerana banyak yang perlu dibayar seperti sewa kedai, bil elektrik selain untuk menyara keluarga,” katanya ketika ditemui di kedainya pada Rabu.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran untuk restoran dan kedai makan bagi menyediakan perkhidmatan makan di dalam premis kepada pelanggan berkuat kuasa pada Rabu dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, jumlah pelanggan perlu dihadkan kepada dua orang satu meja dengan penjarakan fizikal sekurang kurangnya satu meter.

Bagi pengusaha kedai makan ‘Chicken Chop’, Muhammad Reza berkata, dia berharap pelanggan dan peniaga mematuhi SOP yang ditetapkan supaya kebenaran ini berkekalan dan tidak ditarik balik.

“Sebab saya yakin bila peniaga dan pelanggan patuh SOP, kita dapat putuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!