Kemuka resit hotel palsu, empat kakitangan kerajaan ditahan SPRM
KOTA KINABALU - Tindakan empat kakitangan kerajaan mengemukakan resit hotel palsu untuk tuntutan perjalanan membawa padah apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada Rabu.
Empat kakitangan berusia antara 30 hingga 40-an itu bertugas di sebuah agensi kerajaan Persekutuan di Sabah dan ditahan pada jam 1 petang.
Menurut sumber, keempat-empat kakitangan kumpulan sokongan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita itu didapati mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu bagi tugasan rasmi di seluruh negara.
Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada tangkapan dibuat membabitkan empat individu terbabit.
"Kesemua mereka ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.
"Mereka akan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada jam 9 pagi esok (Khamis) untuk pertuduhan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kakitangan kerajaan supaya tidak melibatkan diri dalam mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran atau tuntutan palsu.
"Ini kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!