Perkhidmatan kaunter agensi kerajaan di Pahang dibuka semula esok
KUANTAN- Semua perkhidmatan kaunter melibatkan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang ditutup sebelum ini dibuka semula mulai Khamis.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembukaan perkhidmatan kaunter perkhidmatan itu bagaimanapun masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya, pelanggan yang ingin berurusan boleh memilih untuk hadir terus ke pejabat berkenaan atau membuat janji temu bagi mendapatkan tarikh dan masa sesuai untuk hadir.
"Individu yang menunjukkan sebarang gejala atau tanda jangkitan Covid-19 tidak dibenarkan hadir ke kaunter berkenaan untuk berurusan.
"Golongan warga emas dibenarkan hadir bersama seorang teman atau pengiring bukan dalam kalangan warga emas untuk membantu dalam urusan di kaunter," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.
Wan Rosdy berkata, waktu pengoperasian kaunter bermula jam 8 pagi hingga 8 malam dengan tiga syif penggiliran bertugas di kaunter.
"Jabatan dan agensi berkaitan perlu memastikan tempoh bertugas setiap petugas kaunter selama empat jam di kaunter dan enam jam sehari di pejabat," katanya.
Langkah penutupan kaunter perkhidmatan agensi kerajaan sebelum ini susulan peningkatan mendadak dalam kes baharu pandemik Covid-19 di negeri ini khususnya membabitkan kluster Tanah Putih dalam kalangan pegawai dan kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!