Ramai wanita mahu jadi seperti Rina Harun

No Image Caption
A
A
A

SEHARI dua ini nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, 47, menjadi trending di media sosial.

Malah sana-sini orang bercakap tentang Ahli Parlimen Titiwangsa itu. Buka Twitter, ada dia. Buka Facebook ada ada. Buka Tik Tok pun ada gambar dia.

Masing-masing memuji penampilan terbarunya yang jauh berbeza daripada sebelum ini.

“Aku tengok makanan kat pinggan sekarang ni pun nampak wajah Rina,” gurau seorang rakan yang gemar melihat wanita cantik.

Gambar di media sosial itu memaparkan Rina berada dalam sesi rakaman video bersama kementerian di pejabatnya.

Beliau mengenakan baju kurung berwarna biru gelap dengan lilitan tudung kelabu yang menutupi kepalanya persis seorang model peraga fesyen.

Ramai yang suka dengan penampilan barunya yang semakin langsing berbanding sebelum ini, malah menjadi inspirasi kepada kaum wanita untuk mencapai berat badan idaman masing-masing.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia merupakan bekas menteri Pakatan Harapan (PH) sebelum menyertai Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Ketika bersama PH, beliau adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Rina memiliki Diploma dalam Pengajian Perbankan Universiti Teknologi Mara serta Ijazah Perbankan dan Kewangan dari Universiti Northwood, Michigan, Amerika Syarikat.

Salah seorang pengguna Twitter dengan nama Bonda Nordinah berkata, “Boleh jadi inspirasi kepada wanita wanita di luar sana sebagai pemb4kar semangat.”

@iam_ein turut memuji dengan berkata, “Tidak pernah suka dengan Rina Harun dan pengkhianatannya terhadap kerajaan terdahulu tapi yang ini (penampilan) saya suka.”

Namun ada yang secara sinikal berkata Rina kuat bekerja untuk rakyat sehingga badan menjadi kurus.

“Bekerja pagi, petang, siang dan malam bagi k3sejahteraan rakyat tanpa kenal erti penat dan lelah,” tulisnya.

Nama Rina pernah menjadi bualan hangat netizen sebelum ini apabila gambarnya hampir separuh terpampang pada sijil pelajar-pelajar yang berjaya masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Bila sudah cantik, nak letak gambar pada kad raya besar-besar pun orang dah tak pertikaikan lagi,” kata rakan saya, Syaiful yang masih bujang pada usia 50 tahun.

Sebenarnya ramai yang bercita-cita untuk menguruskan badan dan menjadikannya sebagai azam pada tahun 2021 tetapi nampaknya baru bulan Februari sudah ramai yang terbabas.

Ramai yang turut berteka-teki berapa berat agaknya yang berjaya diturunkan dan apakah corak pemakanan yang telah dilakukan.

Dalam sebuah video yang tular, Rina mendedahkan beliau mengamalkan diet yang sihat selain sentiasa berbasikal untuk menjaga kesihatan.

“Saya berbasikal, selain mengamalkan diet yang sihat, yang penting niat sebenarnya nak sihat,” kongsinya walaupun ramai yang sukar nak percaya seratus peratus.

Tetapi saya yakin, selepas ini pasti ramai kaum wanita yang akan membeli basikal kerana duit i-Sinar pun akan keluar tidak lama lagi.

Sudah tentu suami juga tidak kisah mengeluarkan modal membeli basikal asalkan isteri mereka kelihatan cantik dan ramping seperti anak dara.

Lumrah kejadian seorang wanita yang sukakan kecantikan dan sentiasa mahu nampak indah di hadapan semua orang.

Tidak salah untuk nampak cantik tetapi anda perlu tahu cara yang betul agar ia tidak memudaratkan kesihatan diri.

Saya pernah terbaca satu rencana di sebuah portal mengenai seorang gadis yang berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 32 kilogram daripada 78 kilogram dalam tempoh empat bulan.

Gadis Terengganu itu memberitahu, dia tidak melalui jalan mudah dengan mengambil produk menguruskan badan sebaliknya hanya usaha dan nekad untuk mengubah dirinya sendiri seperti menjaga makanan dan melakukan senaman.

Pokok pangkal adalah diri sendiri. Bukan makan ‘produk sampah’ atau melakukan pembedahan potong usus.

*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!