Aduan kes ah long meningkat 40 peratus

Iklan pinjaman wang haram yang dipercayai ditampal oleh sindiket ah long.
Iklan pinjaman wang haram yang dipercayai ditampal oleh sindiket ah long.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) merekodkan peningkatan aduan kes ah long sebanyak 40 peratus sejak November tahun lalu disebabkan kesan pandemik Covid-19.

Setiausaha Kerja PPIM, Zharif Johor berkata, jumlah aduan harian meningkat sekali ganda berbanding sebelum ini kerana dipercayai lebih ramai terlibat dengan pinjaman ah long kerana desakan hidup.

“Boleh dikatakan sejumlah 80 peratus daripada pengadu terjebak dengan pinjaman ah long dan memerlukan bantuan PPIM untuk menyelesaikan tuntutan adalah disebabkan terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Selain untuk perbelanjaan harian, rata-rata mereka membuat pinjaman ah long untuk modal memulakan perniagaan selepas dibuang kerja.

“Ada juga yang perniagaan yang terjejas dan terpaksa pinjam wang daripada ah long,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Namun begitu jelas Zharif, berdasarkan aduan diterima sejak November, jumlah pinjaman yang dibuat pengadu tidak sebanyak kes-kes sebelum ini.

“Jika sebelum ini jumlah pengadu mungkin tidak seperti sekarang tetapi ia melibatkan jumlah pinjaman yang besar sehingga berjuta-juta ringgit.

“Berdasarkan rekod sejak tiga bulan ini, kes aduan meningkat menunjukkan lebih ramai terjebak dengan ah long tetapi jumlah tuntutan pinjaman yang sederhana serendah RM10,000 hingga RM200,000,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zharif
Zharif

Katanya, terdapat kes seorang suri rumah berusia 27 tahun membuat pinjaman dengan sembilan ah long setelah suaminya dibuang kerja.

“Suaminya kini bekerja sebagai penghantar makanan. Mereka gagal bayar wang tuntutan sebanyak RM57,000 kerana tidak cukup duit.

“Pada awalnya hanya pinjam beberapa ribu ringgit tetapi mereka pinjam kepada ah long lain untuk tutup hutang hingga akhirnya memberi masalah lain,” katanya.

Satu lagi kes melibatkan ke seorang wanita berusia 37 tahun yang juga pengusaha tadika mengadu mentalnya terkesan dengan tekanan daripada ah long sehingga dimasukkan ke hospital.

“Sumber pendapatan utamanya tadika tetapi bila ramai ibu bapa yang tidak dapat daftarkan anak, bayaran yuran berkurangan.

“Dia membuat pinjaman kepada 19 orang ah long dengan nilai tuntutan sebanyak RM171,000,” katanya.

Rosli
Rosli

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, tindakan meminjam wang daripada ah long adalah pilihan terakhir oleh peniaga untuk memastikan perniagaan mereka tidak gulung tikar.

Rosli berkata, kegagalan membayar balik pinjaman mengikut ketetapan jadual membuatkan peminjam menerima pelbagai ancaman serta tekanan daripada ah long.

“Kebanyakan peminjam cenderung mendiamkan diri apabila menerima tekanan sehinggalah mereka diancam oleh ah long,” katanya.

Untuk rekod, gabungan tersebut mempunyai seramai 60,000 ahli dari seluruh negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!