Karenah birokrasi punca pinjaman wang haram jadi pilihan
SHAH ALAM - Tindakan sesetengah penjaja meminjam wang dengan ah long bukan disebabkan bantuan disediakan kerajaan tidak mencukupi.
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri sebaliknya berkata, ia berpunca daripada kerenah birokrasi institusi perbankan dan sebagainya dalam mendapatkan pinjaman yang disediakan itu.
Beliau berkata, atas faktor itu secara tidak langsung mendorong golongan terbabit cenderung untuk meminjam dengan ah long meskipun menyedari kesan jangka pendek dan panjang akan dilalui mereka.
"Kalau kita tengok dari segi pembentangan Belanjawan 2021, pelbagai inisiatif dan insentif yang disediakan kerajaan.
"Sebagai contoh ada pembiayaan kredit mikro berjumlah RM1.2 bilion untuk peniaga bawah tabung ekonomi Tekun, Agro Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan pelbagai lagi," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurutnya, jika dilihat kepada pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan itu, ia dilihat memadai bagi membantu golongan terbabit.
Namun katanya, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan mekanisme yang akan memudahkan semua pihak supaya bantuan sampai kepada golongan sasar.
"Kita kena maklumkan (kepada) kerajaan untuk mempercepatkan dari segi bantuan dan bantuan kepada kumpulan ini (penjaja) termasuk peniaga kecil," katanya.
Katanya, antara perkara yang dicadangkan termasuklah mewujudkan geran one off untuk memberi kembali modal kepada mereka.
Jelasnya lagi, ramai penjaja berdepan dengan masalah aliran tunai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
"Kita juga faham bahawa bank terikat dengan syarat dan kriteria untuk memenuhi pinjaman yang dipohon, namun kita juga perlu memahami kesukaran yang dihadapi penjaja," katanya.
Mohamad Fazli turut mengesyorkan agar selain memberi bantuan atau pinjaman kewangan, kerajaan perlu memberikan khidmat kaunseling dan motivasi kepada golongan terbabit.
"Kita sedia maklum, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini ramai yang tersepit dan berasa down.
"Jadi, sudah pasti mereka juga memerlukan sokongan emosi dalam keadaan sekarang ini," katanya.
Beliau turut menasihatkan golongan penjaja agar menjauhi hasrat untuk meminjam dengan ah long.
"Memang kita sedia maklum untuk meminjam dengan ah long ini hanya memerlukan masa 30 minit untuk diluluskan tetapi kesan jangka pendek dan panjang sangat teruk.
"Kita ambil iktibar dengan apa yang pernah dilalui mangsa yang meminjam dengan ah long," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!