Nenek 92 tahun lancar hafal al-Quran
Selain mampu menghafal al-Quran, Melah Da, 92, yang memiliki empat anak,14 cucu dan enam cicit itu juga mampu menyanyi beberapa lagu lama Jepun dengan lancar.
Menurut anak bongsunya, Siti Aisyah Kassim, 58, ibunya kini tinggal bersama-samanya di Taman Temerloh Jaya di sini secara bergilir-gilir sejak kesihatan beliau semakin uzur beberapa tahun lalu.
"Memang pelik juga, sebab kalau dalam hal-hal lain ibu sukar untuk ingat dan mengenali anak, cucu, cicit dan saudara-maranya. Kadang-kadang dia perlukan masa untuk ingat tapi bila menghafal al-Quran dia sangat lancar, begitu juga bila diminta menyanyikan lagu-lagu lama Jepun.
"Sebenarnya ibu hanya dengar arwah ayah, Kassim Abas mengaji lepas solat dan dari situ dia telah dapat menghafal hingga sekarang," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Menceritakan tentang pemakanan yang diamalkan ibunya, Siti Asiyah berkata, ibunya tidak minum minuman manis dan makanan berlemak selain tidak menggunakan sos serta kicap dalam makanannya.
"Sebelum ini ibu saya aktif sebagai tukang urut bagi wanita yang bersalin, selain itu dia juga gemar berjalan serta menganyam tikar.
"Jika diikutkan umur ibu mungkin telah cecah 100 tahun tapi biasala orang dulu-dulu lambat daftar setelah dilahirkan," dakwanya.
Dalam pada itu, Siti Aisyah yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank bersyukur kerana umur ibunya masih panjang dan tidak memiliki sebarang penyakit kronik seperti kencing manis kecuali hanya mengalami masalah kurang pendengaran.
Katanya, walaupun penat perlu menguruskan ibu dan menjaga abang sulungnya, Baharudin Kassim,73, yang mengidap sakit saraf namun dia tidak menganggapnya sebagai satu bebanan.
"Lagipun ibu tiada galang ganti, selagi ada peluang, saya akan terus berbakti untuk menjaganya. Malah sepanjang saya menjaga ibu, alhamdulillah banyak urusan saya dipermudahkan dan dimurahkan rezeki.
"Saya juga bersyukur kerana suami, Abdul Ghani Zakaria, 58 memahami situasi itu dan turut sama memikul tanggungjawab menjaga ibu. Kadang-kadang saya sedih bila lihat dan baca banyak kes anak-anak abaikan ibu bapa mereka," jelasnya yang bergilir-gilir menjaga ibunya dengan adik-beradik yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!