Peniaga tertekan jadi buruan ah long
SHAH ALAM - Seorang peniaga katering kini hidup tertekan kerana dihantui panggilan telefon dan mesej berunsur ugutan daripada ah long.
Peniaga yang mahu dikenali sebagai Dahari itu meluahkan keresahannya apabila dia mula diganggu ah long sejak Khamis lalu kerana gagal membayar hutang yang dibuatnya sejak bulan Januari.
Pada awalnya, dia hanya dihujani mesej berbaur ugutan daripada ah long yang ingin mengancam dan mengaibkan keluarganya jika dia gagal membayar hutang.
Tidak lama kemudian, dia mula diganggu dengan panggilan telefon yang mengatakan mereka tidak teragak-agak untuk membuat sesuatu kepada keluarganya.
Ujarnya, isterinya yang mengetahui tentang masalah itu dikatakan hampir meminum racun kerana tertekan dengan gangguan yang dihadapi mereka sekeluarga.
“Bila kerajaan laksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tempoh hari, saya hilang punca pendapatan dan tak mampu nak bayar hutang-hutang tersebut.
“Saya ada dua orang anak dan isteri OKU cacat penglihatan, saya bimbang keluarga saya diancam, saya takut,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Dahari menjelaskan dia meminjam daripada ah long sebanyak RM2,000 untuk untuk menampung perniagaannya yang terjejas dan membayar gaji pekerja.
Namun begitu, hutangnya meningkat kepada RM20,000 kerana jadual pembayaran yang sangat pendek.
Jelasnya, dia juga pernah berjaja dengan menjual makanan dan minuman tetapi perniagaannya tidak mendapat sambutan.
“Sebelum ini, saya mampu bayar (hutang) dengan baik tapi sejak PKP dilaksanakan, saya tidak boleh membayar hutang langsung kerana tiada pendapatan.
“Saya pinjam tak banyak, dalam RM2,000 tapi jadual pembayaran sangat cepat yang mana saya perlu bayar RM1,000 setiap tiga hari,” katanya yang berasal dari Klang.
Dahari yang bimbang nyawanya dan keluarga terus diancam, mula mencari alternatif untuk melunaskan hutang tersebut, namun masih belum ada pihak yang boleh membantunya.
“Saya pernah mengadukan masalah ini kepada Persatuan Pengusaha Katering Malaysia (PPKM) tapi mereka tak dapat bantu kerana mereka juga terjejas akibat PKP.
“Saya harap ada pihak prihatin yang sanggup membantu saya dalam terhimpit dalam masalah ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!