Dicekup main mahjong, berkumpul dalam restoran
BENTONG - Empat warga tempatan ditahan ketika leka bermain judi mahjong dalam sebuah restoran di daerah ini pada tengah hari Selasa.
Dalam serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 1 tengah hari itu, empat lagi lelaki ditahan susulan berkumpul sambil minum kopi di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, semua individu warga tempatan berusia 49 hingga 79 tahun itu dikompaun atas kesalahan di bawah Perkara 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Menurutnya, empat daripada mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Pihak polis turut merampas beberapa barangan yang digunakan termasuk 146 batu mahjong, 52 cip pelbagai warna, dadu dan wang tunai disyaki wang pertaruhan berjumlah RM311," katanya.
Dalam kes berasingan, pelanggan dan pemilik sebuah kedai makan masing-masing berusia 41 tahun dikompaun atas kesalahan melanggar SOP pada malam hari sama.
Zaiham berkata, seorang lelaki yang juga pelanggan kedai makan tersebut didapati sedang minum minuman keras dalam premis berkenaan.
"Pemilik premis dikenakan tindakan sama kerana membenarkan pelanggan minum di dalam kedai yang jelas melanggar SOP ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!