Cubaan pindah balak haram RM387,000 gagal
TEMERLOH - Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera berjaya mematahkan cubaan memindahkan 48 tual balak bernilai tinggi yang disyaki ditebang secara haram di Hutan Simpan Jengka, di sini pada Selasa.
Pegawai PHD Temerloh dan Bera, Azmi Abdul Rahman berkata, susulan serbuan itu tual balak spesies keruin, meranti dan balau bernilai lebih RM387,000 dirampas.
Katanya, pihaknya turut merampas sebuah jengkaut dan tiga motosikal dipercayai milik anggota sindiket sebelum dibawa ke pusat simpanan barangan kes Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Pejabat Ladang Hutan Kemasul, di sini.
"Hasil pemeriksaan dalam kawasan itu, menemukan 65 tunggul pokok pelbagai spesies yang ditebang sindiket terbabit. Kita percaya kegiatan itu masih baharu dilakukan dan didalangi beberapa individu berpengalaman," katanya.
"Balak yang ditebang dikumpul di beberapa tempat dalam kawasan terbabit sebelum aktiviti pemindahan dilakukan menggunakan lori balak pada waktu subuh bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Azmi berkata, siasatan mendapati kegiatan yang dipercayai dilakukan antara lima hingga tujuh individu tempatan itu baru bermula dalam tempoh dua hari.
"Sindiket itu memilih spesies balak yang berkualiti tinggi sahaja antaranya keruing, meranti dan balau.
"Sindiket itu dipercayai menggunakan pemberi maklumat atau tonto untuk mengesan kehadiran anggota penguat kuasa," katanya.
Beliau berkata, Hutan Simpan Jengka menjadi sasaran pencuri balak berikutan terdapat banyak spesies kayu berkualiti tinggi selain lokasinya jauh daripada penempatan penduduk.
"Sindiket terbabit dianggap berpengalaman apabila turut menggunakan jentera berat bagi melancarkan aktiviti mereka.
"Setiap anggota sindiket mungkin memiliki lebih satu kemahiran di mana selain menebang balak mereka juga boleh memandu jengkaut dan sebagainya," katanya.
Azmi berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan rangkaian sindiket itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!