Dua kontena bawa 'e-waste' haram ditahan

Sharifah Zakiah (tiga dari kiri) bersama anggota penguatkuasa JAS Pulau Pinang dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang menunjukkan e-waste dalam kontena dari Sepanyol dan Filipina yang ditahan di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Khamis.
Sharifah Zakiah (tiga dari kiri) bersama anggota penguatkuasa JAS Pulau Pinang dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang menunjukkan e-waste dalam kontena dari Sepanyol dan Filipina yang ditahan di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Dua buah kontena dipercayai membawa sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang diimport secara haram ditahan di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada Khamis.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, 'e-waste' itu masing-masing diimport secara haram dari pelabuhan Sepanyol dan Filipina.

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas kedua-dua kontena yang dikenal pasti membawa e-waste secara haram itu diketuai Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan bersama-sama Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang diketuai oleh timbalan pengarah negeri, Raja Badri Shah Raja Azman.

"Kontena tersebut ditahan di pelabuhan untuk siasatan lebih lanjut terhadap pengimport mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Sebarang pelanggaran akta akan dikenakan denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak lebih dari lima tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, notis perundangan juga akan dikeluarkan oleh JAS bagi mengarahkan pengirim membawa kembali kontena tersebut ke negara asalnya, selaras dengan keperluan Artikel 9(2), Konvensyen Basel berkaitan Kawalan Pergerakan Bahan Berbahaya Dan Pelupusan.

"Sejak 2018, JAS Pulau Pinang telah menghantar pulang lebih daripada 100 kontena yang mengandungi 'e-waste' serta lain-lain sisa berjadual yang diimport secara haram daripada negara lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!