KPWKM ambil maklum keluhan warga OKU terjejas: Rina
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil maklum keluhan Orang Kurang Upaya (OKU) agar kerajaan dapat mempertimbang membenarkan perkhidmatan melibatkan golongan itu beroperasi semula dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pendapatan golongan OKU seperti cacat penglihatan yang menjalankan perkhidmatan mengurut antara terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
"Ada kalangan mereka menjadi tukang urut, akibat PKP 2.0 ini menjejaskan pendapatan mereka. Saya akan mengutarakan permohonan mereka, kita akan patuh semua SOP ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada ahli Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di sini pada Khamis.
Pada majlis itu, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan 500 bakul makanan kepada ahli MAB.
Rina berkata kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan golongan OKU yang terkesan berikutan PKP dilaksanakan kerajaan ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 pada masa ini.
"Dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), KPWKM melalui JKM diberi tanggungjawab untuk menguruskan bantuan bakul makanan bernilai RM100 setiap satu dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu mereka yang terkesan dengan PKP 2.0,” katanya.
Dalam pada itu, Rina berkata, kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip memastikan tiada yang terpinggir dalam arus pembangunan negara.
Justeru, beliau berkata kementerian juga dalam usaha meningkatkan kreativiti golongan OKU dengan menyediakan platform yang lebih baik bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
"Ketika ini terdapat Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di Bangi, mereka boleh mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sehingga tahap tiga tetapi kita mahu mereka pergi lebih jauh lagi seperti mendapat kelayakan diploma dan sebagainya supaya akan ada banyak peluang pekerjaan pada masa akan datang yang dapat diterokai," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!