Integriti: Jika hilang tidak mungkin berganti

Gambar dari kiri: Profesor Dr Kassim Thukiman, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar
Gambar dari kiri: Profesor Dr Kassim Thukiman, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar
A
A
A

INDEKS Persepsi Rasuah (CPI) global bagi tahun 2020 telah meletakkan kedudukan Malaysia pada tahap 57, berbanding kedudukan ke 51 pada tahun 2019.

Angka ini menunjukkan amalan tidak berintegriti masih menjadi masalah serius yang berterusan berlaku di negara kita.

Ia seolah-olah menjadi ‘budaya mendarah daging’ yang begitu sukar diubati. Bagi kita yang mencintai negara ini, tentunya kita amat prihatin akan masa depan negara.

Justeru, hati dan perasan kita terus resah apabila timbul berita tentang amalan tidak berintegriti ini yang seolah-olah tiada upaya untuk dibendung apa tah lagi dihapuskan.

Umum mengetahui perbuatan tidak berintegriti meninggalkan kesan buruk jangka pendek dan jangka panjang yang menyeluruh kepada masyarakat dan negara yang meliputi ekonomi, politik, sosial, keselamatan, keutuhan dan maruah negara.

Sehubungan dengan itu, pembudayaan integriti amat penting untuk dilaksanakan oleh setiap individu. Ia akan dapat memelihara maruah dan harga diri seseorang.

Justeru memahami maksud integriti dan kesannya sekiranya diambil ringan perlu ditanam dari peringkat awal sama ada melalui pendidikan formal mahupun tidak formal.

Antaranya menyediakan diri dengan ilmu pengetahuan dan penghayatan agama sehingga memahami sebenar-benarnya nilai integriti dan mengamalkannya tanpa ada sebarang tolak ansur.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, sejak zaman persekolahan, terdapat banyak pesanan dan contoh tauladan pembudayaan integriti secara berterusan.

Antaranya termasuklah pesanan ibu bapa kepada anak-anak, ketua kepada anak buah, guru-guru kepada para pelajar, majikan kepada pekerja, sesama rakan dan sahabat serta pesanan pemimpin kepada rakyat.

Sebagai tauladan, para pemimpin di semua peringkat perlu menunjukkan sikap sifar toleransi secara tegas kepada amalan tidak berintegriti.

Penulis ingin berkongsi secebis pengalaman di mana impak pembudayaan integriti boleh dilihat dengan jelas. Apabila beberapa universiti awam perlu menyusun semula pengurusan kewangan ke arah lebih berhemah, UTM berjaya mengharungi cabaran kewangan dengan pelbagai perubahan, penambahbaikan dan inovasi dengan berpegang teguh kepada budaya berintegriti.

Sebagai contoh, UTM mencatatkan penjimatan tuntutan lebih masa yang sangat signifikan. UTM berjaya menyiapkan keseluruhan projek pembangunan dibawah RMK 9 bernilai lebih RM1 bilion dan membuat penjimatan RM100 juta.

Penulis tanpa ragu-ragu meletakkan kejayaan ini kepada nilai integriti yang dipegang teguh oleh warga UTM, selain dari kepakaran menguruskan projek besar yang dimiliki oleh UTM.

Penulis membayangkan jika integriti ini diperteguhkan di kalangan penjawat Awam dan pelbagai agensi, sudah pasti dapat mengelakkan pembaziran dan salah laku seperti sering dilaporkan setiap kali Audit Negara membuat laporan.

Prinsip penuh integriti juga telah menyaksikan UTM berjaya melaksanakan dengan baik projek Residensi UTMKL dengan kos yang sangat rendah berbanding beberapa projek yang diuruskan sebelumnya terutama melalui perolehan secara rundingan terus.

Secara umum, banyak pihak memahami amalan yang tidak berintegriti. Ia melibatkan pemberian dan pengambilan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, dengki atau khianat, adu domba dan seumpamanya.

Namun begitu, terdapat segelintir golongan yang sudah terbiasa dengan amalan dan gaya hidup yang berkompromi dengan nilai integriti.

Apa yang lebih membimbangkan kita, gejala ini melibatkan organisasi awam, swasta, politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan boleh berlaku dalam kalangan masyarakat.

Hakikatnya integriti meliputi nilai-nilai yang dipegang kukuh dan diterjemah dan dapat dilihat melalui kualiti peribadi, karakter, amalan (conduct), dan pelaksanaan tanggungjawab dan mengambil pertanggungjawaban sepenuhnya.

Integriti juga amat penting dalam berurusan dengan makhluk selain manusia, alam seluruhnya dan persekitaran.

Terdapat banyak contoh yang boleh disabitkan dengan pelanggaran nilai integriti. Berikut adalah beberapa contoh amalan tidak berintegriti selain rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Antaranya termasuklah mengambil ringan atas amanah dan pertanggungjawaban, tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna, tidak menepati masa, tidak menunaikan janji, tiada usaha meningkatkan kompetensi diri, dan melakukan sesuatu secara tidak sah untuk kepentingan diri dengan memberi rasuah dalam apa jua bentuk, serta tidak mempedulikan amalan tiada berintegriti yang berlaku.

Datuk Seri Nazir Razak, bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB juga berkongsi kebimbangan tentang isu integriti.

Dalam syarahannya bertajuk “Where to Next for Malaysia’s Social Cohesion Model?” di webinar Institut Asia-Europe UM & ANU Malaysia Institute (20 Januari 2021), beliau menyatakan bahawa:

‘History has shown that our leaders, even those with the best of intentions, get way laid by what I refer to as the three-headed monster; money politics, identity politics and concentration of power. The best of intentions, reforms and plans – Vision 2020, Multimedia Super Corridor (MSC), Islam Hadhari, New Economic Model (NEM), 1Malaysia - get munched up by this monster’

Nampaknya kita perlu berani mengubah apa yang disebut di atas. Apabila integriti tidak menjadi budaya, ia menimbulkan banyak implikasi termasuk kesan buruk kepada negara. Ia memerlukan kawalan yang berlebihan sehingga sistem menjadi rigid.

Ia juga menghakis kepercayaan dan reputasi dalam kalangan pemegang taruh kepada organisasi. Ia juga merosakkan ekosistem persaingan sihat dan melemahkan daya saing, berlakunya pembaziran, dan tidak kompetitif.

Ketelusan juga boleh dipersoalkan dan sikap curiga mencurigai semakin berleluasa yang akhirnya mewujudkan krisis kepercayaan, ‘teori konspirasi’ dan ‘berita palsu’. Jelasnya, amalan dan perlakuan tidak berintegriti akan menatijahkan pelbagai kesan psikologi.

Ia menyebabkan keresahan, tekanan perasaan, kekeliruan, kucar kacir, putus harapan, hilang jati diri dan sebagainya kerana berdepan dengan amalan yang bertentangan dengan fitrah manusia.

Dalam beberapa kajian menunjukkan, terdapat beberapa sebab mengapa amalan tidak berintegriti boleh berlaku.

Antaranya termasuklah Ilmu yang cetek mengenai nilai dan kepercayaan sehingga sanggup melakukan kesalahan sama ada secara sedar mahupun tidak sedar.

Mereka mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu dan mengabaikan nilai dan amanah. Mereka juga mempunyai sikap mementingkan diri sendiri.

Terdapat juga pujukan dan rayuan oleh pihak yang berkepentingan. Ramai juga staf alpa dengan amanah dan pertanggungjawaban demi mendapatkan imbuhan yang tidak sah.

Justeru, terdapat pelbagai cabaran besar untuk membudayakan integriti. Ia memerlukan sepenuh komitmen, kecekalan, kesabaran dan kekuatan mendepani pelbagai risiko. Antaranya risiko difitnah dan dijatuhkan.

Kemajuan kerjaya yang terjejas, mungkin tersingkir dari jawatan dan perniagaan yang boleh terjejas.

Sebenarnya terdapat banyak contoh tauladan dan pengajaran yang boleh diambil dalam perjuangan membudayakan integriti secara menyeluruh di negara tercinta.

Malah sistem kehakiman negara telah memutuskan beberapa kes pelanggaran integriti, termasuk dalam kalangan pemimpin. Sewajarnya keputusan perundangan menjentik hati setiap rakyat Malaysia untuk menyuburkan budaya integriti.

Dalam pada itu, kita menyedari bahawa terdapat banyak sumber inspirasi yang menggalakkan pembudayaan integriti.

Penghayatan ilmu pengetahuan dan kepercayaan hidup beragama akan menjelaskan betapa beratnya amanah dan pertanggungjawaban.

Ini dinyatakan dalam Surah al-Zalzalah bahawa setiap daripada kita akan diperhitungkan segala amal kebaikan dan kejahatan, walaupun sebutir zarah.

Pesanan ibu bapa dan keluarga masih terngiang kedengarannya. Ramai pemimpin yang berjuang dengan penuh berintegriti.

Pengalaman di UTM, peranan Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid sangat mengesankan dan membekas dalam kalangan staf. Sokongan rakan-rakan juga amat diperlukan dalam membudayakan integriti.

Tambahan pula, bagi mereka yang bekerja dalam sektor pendidikan tinggi, integriti adalah maruah, amanah dan tanggungjawab staf yang perlu dipertahankan sampai bila-bila.

Kita semua memang mendambakan budaya integriti. Apabila integriti menjadi budaya, akan berlaku peningkatan dalam kualiti perkhidmatan.

Ia melibatkan tahap kecekapan, kepuasan pelanggan, penjimatan dan kerja berpasukan. Staf sesebuah organisasi akan profesional sepenuhnya.

Segala urusan berjalan secara telus sepenuhnya. Mereka juga sentiasa menjunjung kebenaran dan integriti walaupun diri sendiri ‘terkorban’.

Moral staf sentiasa tinggi kerana saling mempercayai. Kesemua ini menjana pelaksanaan sistem perkhidmatan awam berprestasi tinggi yang akhirnya kembali kepada rakyat dan negara.

*Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Profesor Dr Kassim Thukiman dari Universiti Teknologi Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!