Kejayaan Azizulhasni ungguli ranking banggakan negara: PM
KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang berjaya mengungguli ranking teratas dunia acara pecut individu dua hari lalu.
Perdana Menteri berkata, kejayaan Mohd Azizulhasni itu satu pencapaian yang cukup membanggakan negara.
"Dengan kejayaan terbaharu ini, Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan julukan 'The Pocket Rocketman' selayaknya dipanggil Raja Pecut Dunia,” kata Muhyiddin menerusi catatan terbaharu di akaun Facebooknya pada Khamis.
Berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 9 Februari, ikon berbasikal trek negara itu mengumpul 1,600 mata untuk berada di tangga teratas dalam acara pecut individu.
Pelumba Jepun Tomohiro Fukaya berada di kedudukan kedua dengan 1,442.5 mata diikuti Sam Webster dari New Zealand mengumpul 1,390 mata di tempat ketiga.
Muhyiddin berkata, pencapaian Mohd Azizulhasni itu melengkapkan diari gemilang arena sukan negara selepas kejayaan bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia pada awal bulan ini.
“Saya dan seluruh peminat sukan tanah air mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Azizulhasni. Semoga kejayaan beliau ini akan menjadi inspirasi kepada atlet muda serta seluruh peminat sukan berbasikal dalam mengejar cita-cita mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.
“Kepada Azizulhasni jadikanlah kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk beraksi lebih cemerlang dalam Sukan Olimpik Tokyo akan datang. Syabas Azizulhasni! Anda kebanggaan negara,” katanya.
‘The Pocket Rocketman’ kini dalam persediaan memburu emas Olimpik sulung negara di Tokyo pada Julai depan, selepas mengakhiri musim 2020 penuh bergaya dengan meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Disember lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!