Tempoh pinjaman makin panjang jika ansuran dikurangkan

Bank Negara
Bank Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurangan jumlah ansuran yang berterusan akan menyebabkan tempoh pinjaman bank terpaksa ditanggung peminjam menjadi panjang.

Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus bagaimanapun berkata, perkara itu dapat dielakkan sekiranya peminjam meningkatkan bayaran ansuran bulanan apabila kedudukan kewangannya beransur pulih.

"Apabila ansuran bulanan dikurangkan, masa yang diambil untuk melunaskan pinjaman tersebut akan menjadi lebih lama. Ini akan turut meningkatkan kos pinjaman," katanya pada sidang akhbar pengumuman prestasi ekonomi suku keempat 2020 secara maya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung rungutan orang ramai mengenai tempoh bayaran balik pinjaman yang dipanjangkan terlalu lama apabila mereka memohon mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman.

Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, pihaknya sentiasa memberi penekanan bahawa kuasa memilih terletak di tangan peminjam itu sendiri.

Menurutnya, peminjam harus memilih pakej bantuan yang sesuai dengan situasi kewangan mereka.

"Minta pegawai bank terangkan dengan jelas terma bayaran balik bantuan yang ditawarkan dan kesannya terhadap kos pinjaman.

"Bincang dengan pihak bank untuk meningkatkan bayaran ansuran apabila situasi kewangan beransur pulih kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, apabila peminjam mula meningkatkan bayaran ansuran setelah situasi kewangan pulih, tempoh pinjaman juga akan menjadi lebih pendek.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!