Pemilik lembu 'rayau' berdepan denda RM2,200 seekor
PASIR MAS - Pemilik lembu 'rayau' bakal berdepan denda sehingga RM2,200 untuk setiap ekor haiwan tersebut sekiranya ditangkap oleh Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).
Yang Dipertua MDPM, Nik Mohammed Nor Nik Ishak berkata, jumlah denda yang tinggi itu melibatkan kos pengurusan termasuklah pemindahan serta penjagaan haiwan berkenaan sepanjang berada dalam tahanan pihaknya.
"Setiap ekor lembu yang kita tangkap akan dikompaun sebanyak RM1,000.
"Kos pemindahan RM500 manakala penjagaan sebanyak RM100 untuk sehari selama seminggu," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Beliau berkata, jika sepanjang tempoh seminggu itu tiada pemilik yang tampil untuk membuat tuntutan, lembu-lembu tersebut akan dilupuskan.
Menurutnya, tindakan tegas itu terpaksa diambil selepas masih ada pemilik yang degil dan ingkar dengan arahan MDPM.
Katanya, tangkapan lembu 'rayau' terpaksa dilakukan oleh pihaknya apabila haiwan tersebut menjadi penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya di kawasan Rantau Panjang.
"Pada Rabu sebanyak tiga ekor lembu rayau bernilai RM9,000 telah ditangkap oleh MDPM. Kesemua lembu itu kita tangkap di hadapan kawasan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nik Mohammed Nor berkata, sebanyak 15 ekor lembu rayau telah ditangkap oleh MDPM sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya bertindak berdasarkan maklumat orang awam selain daripada operasi secara berkala setiap bulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!