Institut memandu, pusat latihan penerbangan dibenar beroperasi

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Premis perniagaan berkaitan aktiviti memancing seperti kolam pancing, pelantar pancing, rumah rakit dan bot memancing dibenarkan beroperasi semula mulai esok dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga setuju membenarkan institut latihan memandu dan pusat latihan penerbangan beroperasi semula, selain gimnasium, dewan badminton dan padang golf.

"Kerajaan sebelum ini telah benarkan aktiviti memancing bagi tujuan sara hidup di bawah sektor perikanan, namun kita terima banyak rayuan melibatkan pengusaha-pengusaha kolam pancing, houseboat dan bot memancing ini yang hilang mata pencarian," katanya pada sidang media mengenai PKP di sini, pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, kesemua pembukaan sektor ini diputuskan selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan turut mengemukakan permohonan untuk aktiviti sukan lain yang bersifat individu dan tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu, peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara.

“Setelah penilaian risiko dibuat, kerajaan setuju membenarkan aktiviti joging dan brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja, tenis, badminton dan ping pong yang melibatkan acara perseorangan sahaja, permotoran (dua roda dan empat roda).

“Selain itu, aktiviti lain dibenarkan ialah aktiviti sukan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw boleh dilakukan secara latihan kemahiran kendiri (tanpa aktiviti bersentuhan),” katanya.

Mengulas mengenai fasiliti sukan dan rekreasi seperti gelanggang tenis dan badminton, gimnasium dan pusat litar permotoran, beliau berkata penggunaannya perlu dilakukan secara penjadualan dan tempahan sahaja manakala ‘walk in’ atau secara terus tidak dibenarkan untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata bagi golf, gimnasium, badminton, tenis dan ping pong, kesemua aktiviti itu tertakluk kepada SOP tersendiri antaranya penjarakan fizikal dalam gimnasium, keberadaan individu dalam premis mengikut kapasiti sedia ada, jarak susunan peralatan sebagainya.

Beliau berkata butiran lanjut mengenai SOP tersebut boleh didapati di laman sesawang MKN.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pengusaha kolam pancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perikanan, manakala rumah rakit dan pelantar memancing (kelong pancing) perlu berdaftar dengan PBT sahaja.

“Semua premis hendaklah memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya dua meter antara setiap pemancing semasa aktiviti. Tempat duduk pemancing ditandakan dengan jelas, dan premis juga hendaklah menyediakan pendaftaran pelanggan melalui MySejahtera, menyediakan pensanitasi atau sabun untuk mencuci tangan, saringan suhu dan sanitasi premis manakala waktu operasi dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Beliau berkata mana-mana perkhidmatan rumah bot, sewaan bot atau sampan memancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan PBT dan Jabatan Perikanan dan bilangan maksimum penumpang termasuk jurumudi dalam satu bot tidak lebih 50 peratus daripada kapasiti asal.

Pemilik bot dan vesel perlu mempunyai lesen Jabatan Laut dalam tempoh yang sah dan juga berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

“Walaubagaimanapun, pesta dan sebarang pertandingan memancing adalah tidak dibenarkan. SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Jabatan Perikanan dan MKN,” katanya.

Mengenai kebenaran institut memandu, arahan ini merangkumi perkhidmatan latihan pemanduan, Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) 01, 02 dan 03, perkhidmatan praujian pemanduan (QTI), perkhidmatan ujian teori dan praktikal (litar dan jalan raya), manakala waktu operasi bermula 7.30 pagi sehingga 8.30 malam.

Antara SOPnya adalah pemakaian pelitup muka oleh pengajar dan calon sepanjang masa, keberadaan calon yang berkaitan dengan slot latihan atau pengujian sahaja di premis dan tidak dibenarkan menunggu dan penjarakan fizikal.

“Manakala bagi Pusat Latihan Penerbangan pula, arahan merangkumi pentadbiran di Approved Training Organisation (ATO) termasuk Type Rating Training Organisation (TRTO), Flying Training Organisation (FTO) dan Flying Club - Instruction in Flying (FC-IIF),” katanya.

Beliau berkata, pentadbiran latihan berulang yang mandatori bagi menampung operasi penerbangan awam dibenarkan untuk juruterbang, jurutera penerbangan, pengawal trafik udara, kru kabin, kakitangan sekuriti dan pengendali bahan berbahaya.

Antara SOP berkaitan adalah pelatih yang telah berada di ATO perlu terus kekal di ATO dan mendapatkan surat kebenaran pergerakan bagi merentas negeri atau daerah untuk pergerakan ke atau dari ATO.

Selain itu, semua aktiviti latihan penerbangan boleh dilaksanakan selaras dengan Garis Panduan Pengurusan Operasi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan ATO, manakala SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Pengangkutan dan MKN. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!