Lima bot nelayan Vietnam ceroboh perairan diusir

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu mengusir keluar lima bot nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara sejak 4 Febuari hingga Khamis.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kehadiran tiga daripada lima bot berkenaan dikesan dengan jelas oleh pesawat ketika melaksanakan rutin pengawasan udara di perairan Terengganu.

Katanya, maklumat pencerobohan itu kemudian disalurkan kepada KM Amanah yang sedang melaksanakan Ops Iman.

"Sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, kesemua bot yang ketika itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan itu lari menuju ke perairan antarabangsa dan KM Amanah terus mengusir keluar dari sempadan perairan negara.

"KM Amanah kekal berkawal di kawasan berkenaan bagi memastikan bot-bot tersebut tidak menceroboh kembali.

"Pengusiran ini adalah tindakan sementara sepanjang tempoh pencegahan penularan Covid-19 bagi mengekang kewujudan kluster baharu selain mengelak risiko jangkitan kepada petugas barisan hadapan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, lebih 600 kru termasuk tekong warga Vietnam yang ditahan kerana kesalahan menceroboh perairan negara sejak 26 Jun 2020 sehingga Khamis sudah menjalani saringan Covid-19 dan semua keputusannya adalah negatif.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 juga kami ada merekodkan dua tangkapan bot nelayan asing kerana kesalahan menceroboh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!