Perkeso bantu ibu tunggal hidap strok
KLUANG - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang akan membantu seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit angin ahmar menjalani rawatan fisioterapi selain memproses tuntutan pencen ilat kepadanya.
Pengurus Pejabat Perkeso Kluang, Ahmad Suzaime Abdul Aziz berkata, Noryati Ismail, 47, juga akan menerima bekalan alat pemulihan seperti lampin pakai buang, kerusi roda dan alat pemulihan lain selagi memerlukan.
"Bagi mendapatkan pencen ilat, laporan perubatan berkaitan penyakit wanita ini diperlukan dan kita akan membantu mendapatkan laporan berkenaan berikutan keadaannya tidak boleh bergerak jauh kerana tidak mempunyai pengangkutan.
"Khamis minggu lalu, Skuad Prihatin Perkeso (SPP) Kluang menemui wanita ini di rumahnya bagi mendapatkan maklumat berkaitan penyakitnya dan juga membawa bekalan lampin pakai buang sebagai usaha meringankan beban keluarganya.
"Maklumat ibu tunggal ini diperoleh melalui pendedahan laporan Sinar Harian pada 2 Februari lalu sebelum pihak kami membuat tindakan susulan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini menyiarkan kisah Noryati yang tinggal di Kampung Tanjung, Renggam tidak mampu ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Dia yang tinggal di pedalaman dan dijaga anak lelaki keduanya tidak memiliki kereta.
Disebabkan itu, dia yang menghidap strok tidak dapat menjalani pemeriksaan dan rawatan sempurna di HEBHK di sini.
Noryati yang diserang strok dua bulan lalu bergantung hidup dengan tiga anak lelakinya berusia 19 hingga 28 tahun sejak kematian suaminya, Bambang Mulyowinarso kira-kira 10 tahun lalu.
Sementara itu, Ahmad Suzaime berkata, diharapkan dengan semua bantuan diberikan Perkeso dapat memulihkan semula penyakit angin ahmar yang dihidapinya itu seterusnya menjalani kehidupan harian dengan lebih baik.
Katanya, pihaknya berharap orang ramai bekerjasama membantu mendapatkan maklumat mana-mana individu yang menghidap penyakit kronik seperti itu bagi membolehkan semakan dilakukan sebelum tindakan sewajarnya dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!