Makan di restoran beri nafas baharu kepada peniaga
SHAH ALAM - Keputusan pelonggaran makan di restoran mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan memberi nafas baharu kepada peniaga.
Pengarah Urusan Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim berkata, keputusan kerajaan membenarkan makan di restoran tidak melebihi dua orang pada satu meja bakal membantu perniagaan mereka kembali pulih.
“Sejak dua hari beroperasi secara makan di restoran, sebanyak 35 peratus jumlah pelanggan meningkat.
“Ramai pelanggan datang ke restoran dan ada yang datang dari Ampang dan Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk makan di restoran kami di sini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, Hakimsa berkata, perniagaannya mengalami kerugian sebanyak 65 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Ini disebabkan kekurangan pelanggan dan kekangan waktu beroperasi menyebabkan keuntungan berkurangan, “ katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar kerajaan memanjangkan tempoh beroperasi bagi restoran sehingga jam 12 malam apabila kes Covid-19 semakin menurun.
“Saya juga bersyukur dengan kebenaran dan kelonggaran yang diberikan kerajaan kerana dengan keputusan ini dapat menyenangkan peniaga dan pelanggan untuk mencari makanan.
“Pelanggan dan pekerja perlu mematuhi SOP yang ketat bagi menurunkan peratusan kes Covid-19 di negara,” katanya.
Pada Rabu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan makan di kedai makan dan terhad kepada dua pelanggan untuk satu meja dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!