Waller Court kian usang, daif

Keadaan Pangsapuri Waller Court yang memerlukan pembangunan semula dilakukan dengan kadar segera. Gambar kecil: Mohammad Iskandar
Keadaan Pangsapuri Waller Court yang memerlukan pembangunan semula dilakukan dengan kadar segera. Gambar kecil: Mohammad Iskandar
A
A
A

IPOH - Pembangunan semula Pangsapuri Waller Court di Ipoh yang merupakan antara flat perumahan tertua di Malaysia pernah diutarakan Menteri Besar Perak semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2012.

Pelan pembangunan itu termasuk menyediakan ruang rumah yang selesa dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu dan dua bilik air, kemudahan dewan komuniti serta kawasan riadah.

Usaha berkenaan yang melibatkan kerja meroboh dan membina semula bangunan antara inisiatif kerajaan negeri agar taraf hidup rakyat yang tinggal di kawasan bandar dengan pendapatan rendah dapat ditingkatkan.Langkah itu digerakkan selepas mendapati bangunan yang dibina atas tanah seluas 2.88 hektar dan diduduki sejak tahun 1962 tersebut kian usang.

Flat perumahan berusia hampir 60 tahun ini masih didiami penduduk yang sebahagian besarnya penghuni asal.
Flat perumahan berusia hampir 60 tahun ini masih didiami penduduk yang sebahagian besarnya penghuni asal.

Selepas sembilan tahun berlalu, bangunan menempatkan 536 unit rumah di 19 blok yang ditanda A sehingga S menginjak usia ke-60 tahun dan kekal dalam keadaan serba daif dan uzur.

Flat perumahan berkenaan mempunyai reputasi yang agak mengecewakan apabila cadangan pembangunan semula yang dijanjikan bertahun lamanya masih gagal dilaksanakan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan dinding bangunan penuh dengan lumut dan tumbuhan menjalar serta persekitaran tidak terurus, boleh menjejaskan imej Ipoh sebagai bandar raya di mata pelancong.

Realitinya, hampir separuh daripada keseluruhan unit rumah telah lama kosong dan terbiar yang sekitarnya nampak menyeramkan sekali gus mengelirukan pengunjung sama ada ia struktur tinggal atau masih dihuni.Hakikatnya, pangsapuri itu menjadi kebanggaan warga Ipoh suatu ketika dahulu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan unit kediaman Zaiton (gambar kecil) kelihatan kemas dan teratur.
Keadaan unit kediaman Zaiton (gambar kecil) kelihatan kemas dan teratur.

Kedudukannya yang hampir dengan pusat perniagaan, pasar, klinik dan hospital antara faktor menjadikan kawasan itu begitu strategik sebagai kompleks perumahan awam.

Berdasarkan data tahun ini, daripada 536 unit kediaman di situ, hanya 295 unit didiami sementara 241 unit lagi kosong.

Kadar sewaan terkini yang perlu dibayar penghuni kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah RM127 bagi unit dua bilik, RM102 (satu bilik) dan RM67 (tiada bilik).

Kerap mengadu

Kebimbangan penduduk mengenai tahap keselamatan bangunan antara aduan paling kerap diterima oleh Ahli Majlis di kawasan berkenaan.

Aduan itu diterima membabitkan kerosakan struktur kayu reput, besi yang rosak, masalah sistem kumbahan dan serangan anai-anai.

Selain itu, ada juga aduan laluan rosak, bumbung dan siling bocor, longkang tersumbat dan sistem pendawaian usang.Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 8, Mohammad Iskandar Abdul Rahman berkata, aduan itu diterima setiap kali lawatan dilakukan dan penganjuran program di situ.

“Kalau ikutkan keadaan semasa, bangunan itu memang sudah tidak selamat untuk diduduki dan atas faktor itulah kerap kali aduan kerosakan diterima.

“Menjadi polisi kita cuba selesaikan aduan diterima dalam tempoh 24 jam tetapi disebabkan ia bangunan lama, proses berkenaan sukar dipenuhi,” katanya.Katanya, walaupun isu dibangkitkan bukan perkara baharu, ia perlu dititikberatkan kerana berkait rapat keselamatan dan kebajikan penghuni.

“Perumahan itu memang perlu dibangunkan semula kerana ia terlalu usang, jika cat sekalipun, aspek keselamatan masih di tahap minimum,” katanya.

Pangsapuri Waller Court dahulunya turut dilengkapi dengan kemudahan klinik dan rukun tetangga.
Pangsapuri Waller Court dahulunya turut dilengkapi dengan kemudahan klinik dan rukun tetangga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!